Azmin Tidak Ambil Hati, Terlalu Awal Jadi ‘Datuk’

Klang – Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, beliau tidak mengambil hati dengan penganugerahan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS) yang membawa gelaran ‘Datuk’ kepada dua anggota Exco kerajaan negeri hari ini.

Beliau sebaliknya berkata darjah kebesaran itu yang dianugerahkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada Iskandar Abdul Samad yang juga Pesuruhjaya PAS negeri dan Dr Ahmad Yunus Hairi adalah sebagai pengiktirafan terhadap khidmat bakti mereka sejak menganggotai barisan pimpinan kerajaan negeri.

“Saya percaya dua tokoh ini banyak memberikan khidmat kepada rakyat Selangor dan sewajarnya diberi penghormatan dan penghargaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor ke-69 di Istana Alam Shah hari ini.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika mengulas spekulasi hangat sebelum ini yang mengatakan beliau akan berada dalam senarai penerima gelaran daripada Sultan Selangor setelah darjah kebesaran yang membawa gelaran ‘Datuk Seri’ yang dikurniakan kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ditarik balik berkuat kuasa 3 Nov lepas.

Mohamed Azmin, yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut menepis dakwaan kononnya beliau tidak menerima sebarang anugerah kebesaran negeri kali ini disebabkan oleh kemelut jawatan Menteri Besar yang dicetuskan PKR.

Beliau berpendapat adalah terlalu awal untuk dirinya mendapatkan sebarang darjah kebesaran buat masa ini sebab baru 80 hari menerajui pentadbiran kerajaan negeri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.