Azmin Tiada Dalam Senarai, Tidak Dapat ‘Datuk’

Shah Alam – Spekulasi bahawa Menteri Besar Selangor Azmin Ali akan dianugerahkan gelaran Datuk Seri oleh Sultan Selangor adalah tidak benar, dipetik Mstar Online.
Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan bahawa Azmin akan berada dalam senarai penerima gelaran Datuk daripada Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena hari lahir baginda hari ini (Khamis).
Spekulasi ini sering diperkatakan di internet sehari selepas gelaran ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ditarik balik oleh Sultan Selangor.
Sumber itu bagaimanapun berkata khabar angin itu tidak benar dan Azmin tidak akan diberikan sebarang gelaran pada ketika ini.
Sebaliknya, dua pemimpin PAS Selangor yang memegang jawatan Exco Selangor, Iskandar Abdul Samad yang juga ADUN Cempaka dan Dr Ahmad Yunus Hairi, ADUN Sijangkang berada dalam senarai penerima pingat yang membawa gelaran ‘Datuk’.
Setiausaha Kerajaan Selangor Datuk Mohammed Khusrin Munawi semalam dilaporkan berkata, seramai 27 penerima daripada 680 pencalonan saja terpilih menerima darjah dan bintang kebesaran sempena Hari Keputeraan ke-69 Sultan Selangor.
Daripada jumlah itu, dua individu menerima darjah dan bintang kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran ‘Datuk Seri’ dan seorang menerima Datuk Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS) yang membawa gelaran ‘Datuk Setia’.
Selain itu, 24 menerima Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS) dan Datuk-Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS), kedua-duanya membawa gelaran ‘Datuk’ bagi lelaki dan ‘Datin Paduka’ bagi perempuan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.