Adam Mungkin Akan Jadi Pemimpin, Saya Pun Tidak Seberani Dia – Nur Jazlan

Kuala Lumpur – Ahli Parlimen Pulai, Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed memuji keberanian aktivis pelajar, Adam Adli atas tindakannya selama ini.

Nur Jazlan turut menjangkakan Adam bakal menjadi pemimpin negara ini pada masa akan datang.

“Satu hari, Adam mungkin akan jadi seorang pemimpin di negara ini. Saya pun tidak seberani dia,” katanya pada forum ‘Freedom of Expression Under Threat?’, di sini, hari ini.

Meskipun memuji, beliau yang ditemui Sinar Online usai forum tersebut menegaskan tidak pernah bersetuju dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat bekas pelajar universiti pendidikan itu.

“Saya tidak setuju dengan apa Adam cakap. Cuma saya setuju dengan sikap dia. Keberanian dia untuk bersuara.

“Jangan gunakan undang-undang untuk hentikan dia. Bimbang nanti dia hilang kesungguhan untuk teruskan keberanian bersuara,” katanya.

Menurutnya, menekan pelajar dengan undang-undang hanya akan merugikan negara ini.

“Kalau seseorang itu mempunyai prinsip yang tinggi mengenai bagaimana mereka mahu bentuk negara ini akan datang. Undang-undang yang digunakan ataupun ditekan dengan undang-undang akhirnya tidak akan berjaya juga.

“Macam yang saya sebut tadi (dalam forum), 40 tahun dahulu, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim telah ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), (selepas itu) mereka lebih bersungguh-sungguh untuk berjaya dan akhirnya mereka menjadi pemimpin Umno.

“Jadi, jangan kita tekan orang macam Adam Adli ini dengan undang-undang…dengan menghukum mereka semata-mata untuk menutup mulut mereka dan menyekat kepimpinan mereka.

“Sebab akhirnya negara akan kerugian kerana satu hari nanti mungkin mereka akan jadi pemimpin yang akan membawa kebaikan kepada negara,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.