Khairy Harap Kos Penganjuran Sukan SEA 2017 Tidak Mencecah RM80 Juta

NAYPYITAW, 12 Dis (Bernama) — Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berharap penganjuran Sukan Sea pada 2017 yang bakal dihoskan Malaysia tidak akan mencecah angka RM80 juta.

Meskipun jumlah berkenaan sudah dipersetujui oleh jemaah menteri, beliau mahu jumlah tersebut dikurangkan supaya kerajaan pusat dapat menjimatkan perbelanjaan bagi mengelolakan temasya sukan terbesar yang melibatkan anggota Asean itu.

“Bila kita anjurkan nanti, kita akan gunakan kemudahan lama seperti di Bukit Jalil, jadi mungkin kita kena menambaik kemudahan (sukan sedia ada).

“Saya hendak pastikan kos penganjuran itu (tidak mencecah RM80 juta) namun tidaklah sehingga standard kita (selaku tuan rumah) turun. Itu kos anggaran dan bukan jumlah sebenar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke perkampungan Sukan Sea yang menempatkan kontinjen negara di sini Khamis.

Turut serta dalam lawatan berkenaan ialah Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MOM) Datuk Seri Zolkples Embong.

Khairy turut tidak menolak kemungkinan bahawa beberapa jenis sukan terpilih pada 2017 nanti bakal diadakan di luar Lembah Klang termasuk di Sabah, Sarawak, Terengganu dan Johor.

“Pusat utama masih lagi di Kuala Lumpur. Kita tidak mahu melibatkan terlalu banyak venue kerana menyusahkan (penganjur) nanti,” katanya.

Dalam pada itu, beliau masih meletakkan keyakinan bahawa kontinjen negara mampu mencapai sasaran 40 pingat emas yang ditetapkan sebelum ini walaupun terdapat beberapa sukan utama yang gagal menepati sasaran.

Beliau berkata pihaknya akan membuat bedah siasat mengenai kegagalan sukan berkenaan dalam mencapai sasaran ditetapkan sebelum menentukan jumlah peruntukan tahunan kepada persatuan sukan kebangsaan.

“Saya tidak meletakkan apa-apa keputusan hari ini sebab sasaran ini (40 pingat emas) tetapi berdasarkan penilaian MOM dan MSN sebelum dibentangkan kepada saya, jadi bagi saya kita mesti serius dengan sasaran yang kita kemukakan itu,” katanya.

Khairy sebelum itu sempat meninjau aksi atlet negara termasuk bagi acara badminton dan sepak takraw yang berlangsung di Stadium Tertutup Wunna Theikdi, di sini.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.