JPJ Nafi Bertindak Kejam Saman Lori Bawa Bantuan Banjir

TUMPAT, 12 Dis (Bernama) — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan bertindak kejam apabila menyaman lori yang dikatakan membawa barangan bantuan banjir seperti yang disebar dalam media sosial baru-baru ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata tindakan itu diambil setelah pegawai penguat kuasa mendapati lori berkenaan membawa muatan berlebihan tanpa dimaklumkan bahawa ia merupakan barangan bantuan banjir.

“Pemandunya langsung tidak memaklumkan yang ia membawa muatan misi kemanusiaan banjir. Sepatutnya pemandu itu memaklumkan keadaan sebenar terlebih dahulu, dan bukannya bertindak mensensasikan keadaan itu di laman sosial,” katanya kepada pemberita selepas penutupan Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) Daerah Tumpat Khamis.

Beliau berkata pihaknya bersedia membatalkan saman itu bagi menamatkan kontroversi berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, mana-mana pihak yang melaksanakan misi bantuan kemanusiaan dinasihat memaklumkan perjalanan mereka kepada JPJ selain menggantung bendera penaja bagi mengelak sebarang masalah.

Pada 7 Dis lepas, JPJ didakwa menyaman pemandu sebuah lori yang membawa muatan barangan bantuan banjir seperti pakaian, selimut, beras, gula, susu dan tepung di Tol Gombak, Selangor yang dikatakan dalam perjalanan ke Kuantan.

Pemandu kenderaan itu didakwa disaman RM150 manakala syarikat lori berkenaan RM450 kerana membawa muatan lebih.

-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.