MELAKA – Bilik Gerakan Perikatan Nasional (PN) di Telok Mas, di sini, diarahkan tutup 14 hari, selepas ada kes positif COVID-19.
Pengarah Jabatan Kesihatan Melaka, Dr Rusdi Abd Rahman, berkata notis penutupan 14 hari itu bermula hari ini sehingga 26 November.
“Ujian saringan awal mendapati, seorang individu positif COVID-19 dan notis penutupan sudah dikeluarkan.
“Seramai 23 individu lain menjalani ujian saringan hari ini dan masih menunggu pengesahan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, jabatan kesihatan turut mengeluarkan notis kompaun berjumlah RM10,000 selepas mendapati berlakunya pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).
“Notis kesalahan itu dikeluarkan kerana pihak yang terbabit tidak menyediakan pengimbas suhu di premis seperti yang diarahkan,” katanya. – BH