Umum Kemenangan Sendiri, Wan Azizah Sifatkan Azmin Terlalu Teruja

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata Timbalannya, Datuk Seri Azmin Ali terlalu teruja sehingga mengumumkan kemenangan kem Azmin semalam.

Menurut Wan Azizah, pemilihan parti itu belum sampai ke penghujungnya dan masih belum boleh diraikan.

“Alhamdulillah mereka masih dalam mood bertanding, kita tidak tahu sebab kita belum sampai ke penghujung.

“Kadang-kadang dia (Azmin) teruja dan seronok (sebab menang),” katanya kepada media pada majlis pelancaran Kejohanan Badminton Campuran bawah 15 tahun pertama Asia di Stadium Juara Bukit Kiara.

Semalam beberapa individu yang bertanding dalam kem Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu mengumumkan kemenangan dan mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi yang mengundi mereka.

Antaranya ialah calon Ketua Wanita, Haniza Talha; Calon Ketua AMK, Dr Afifi Bahardin dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari yang bertanding Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Dalam pada itu, Wan Azizah berkata, terpulang kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) parti untuk mengadakan semula pemilihan itu di Cabang Julau, Sarawak.

Tambah beliau, JPP disarankan untuk menyemak semula keputusan pemilihan di cabang itu kerana dakwaan ada kepincangan yang berlaku pada Sabtu.

“Saya menunggu apa sahaja keputusan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat samada nak buat pemilihan semula atau tidak dan kita teruskan atau tidak.

“Saya lihat ia sebagai satu tanda bahawa PKR mahu penipuan itu dibuat secara bebas,” katanya.

Pemilihan Julau terpaksa ditangguhkan akibat masalah teknikal.

Keputusannya masih jadi tanda tanya selepas digantung kerana dakwaan serangan siber pada Sabtu lalu.

Malah keputusan Cabang Pensiangan, Sabah juga belum dimuktamadkan sehingga kini. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.