Mungkin Kerajaan PH Yang Cukupkan Hutang RM1 Trilion – KJ

KUALA LUMPUR – Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) menyindir kerajaan berhubung isu hutang negara RM 1 trilion.

Katanya, ini kerana fakta sebenarnya menunjukkan nilai yang sebaliknya.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng sekali lagi menyebut tentang hutang RM 1 trilion.

“Tetapi realitinya apa? hutang kerajaan pada suku kedua tahun ini, meningkat kepada RM725.2 bilion berbanding RM705.0 bilion pada suku pertama, mencatatkan peningkatan sejumlah RM20 bilion.

“Baki akaun semasa dalam akaun negara pula menguncup pada suku kedua 2018 kepada hanya RM3.9 bilion atau 1.2 peratus  daripada Pendapatan Negara Kasar (PNK) berbanding RM15 bilion atau 4.5 peratus  daripada PNK pada suku pertama 2018,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2019, di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga merupakan pemegang portfolio Menteri Kewangan Kabinet Bayangan BN berkata, dari jumlah itu sinisnya memang benarlah negara berhutang sebanyak RM 1 trilion angkara urus pentadbiran PH yang longgar.

“Nilai RM pula masih belum menunjukkan apa-apa petanda peningkatan malah semakin susut hari demi hari dan kini mencecah RM4.17 berbanding Dolar Amerika Syarikat.

“Disebabkan nilai Ringgit yang terus merosot ini, ia telah memberi kesan besar kepada rizab antarabangsa Bank Negara. Rizab negara terus menurun daripada $AS109.5 bilion pada Mei 2018 kepada $AS102.8 bilion pada Oktober 2018, penurunan selama 5 bulan berturut-turut. Lebih membimbangkan, jumlah terkini ini hanya mampu menampung 0.9 kali hutang luar negeri jangka pendek.

“Dengan kesemua indikator dan unjuran ekonomi yang saya nyatakan ini, saya khuatir pada akhirnya PH sendiri yang menjadikan hutang negara RM1 trilion!,” katanya.

Kerajaan PH pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini sering melaungkan bahawa negara kita sekarang tenat dek kerana hutang kini yang mencecah RM 1 trilion. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.