Muhyiddin Nasihat Maslee Lepas Jawatan Presiden UIAM Segera
KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan Dr Maszlee Malik melepaskan jawatannya sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan segera.
Menteri Dalam Negeri itu mendedahkan bahawa kerajaan Pakatan Harapan telah membuat keputusan agar Menteri Pendidikan itu berbuat demikian.
Walaubagaimanapun katanya, Maszlee meminta sedikit masa.
“Ini keputusan kerajaan dan juga parti, dan beliau tahu dan terima keputusan tersebut… atas sebab itu saya suka menasihatkan beliau untuk berbuat demikian secepat yang mungkin,” katanya.
Sebelum ini, dilaporkan Ahli Parlimen Simpang Renggam itu bersedia untuk melepaskan jawatan tersebut selepas menyelesaikan beberapa isu termasuk mencari pengganti.
Untuk rekod, beliau dilantik sebagai presiden UIAM ke-7 untuk tempoh 3 tahun pada September lepas setelah diperkenankan oleh Ketua Perlembagaan UIAM, Sultan Ahmad Shah.
Pelantikannya itu demi menggantikan Tan Sri Dr Rais Yatim yang tamat kontrak pada Julai lepas.-SuaraTv