Maszlee Akan Letak Jawatan Presiden UIAM Lepas Proses Pelantikan Penggantinya Selesai

SHAH ALAM – Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik akan melepaskan jawatan sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagaimana yang diputuskan kabinet.

Maszlee memberitahu perkara itu di Twitter beliau, malam ini.

“Sebenarnya saya telah pun memutuskan untuk melepaskan jawatan Presiden UIAM iaitu sebaik selepas istiadat konvokesyen UIAM berakhir dan proses pelantikan pengganti saya selesai.

“Saya percaya proses pelantikan pengganti akan selesai akhir November 2018,” tulis beliau.

Awal hari ini, Menteri Dalam Negeri merangkap Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Maszlee perlu segera meletakkan jawatan sebagai Presiden UIAM memandangkan mesyuarat kabinet telah membuat keputusan yang jelas mengenai perkara tersebut.

Ujar Muhyiddin, Maszlee patut tahu mengenainya dan segera mencari pengganti yang bersesuaian untuk mengambil alih posisi itu.

Sementara itu di dalam tweet yang berasingan, Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata beliau menghormati keputusan kabinet dan juga pandangan Muhyiddin.

“Saya menghormati keputusan YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Kabinet berhubung isu jawatan Presiden UIA. Pada masa yang sama, saya menghormati kenyataan YB Tan Sri Muhyiddin Yassin,” ujarnya ringkas.

Kelmarin, Maszlee yang ditanya pemberita ketika majlis konvokesyen UIAM enggan mengulas perkara berkenaan dengan memaklumkan ia akan dijawab dalam sidang akhbar lain dan bukannya di majlis tersebut. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.