Lelaki Maut Akibat Pergaduhan Kongsi Gelap Dalam Kawasan Sekolah

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki maut ditikam manakala seorang remaja lelaki cedera dipercayai akibat pergaduhan antara dua kumpulan kongsi gelap di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dekat Skudai, Ahad.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Mohd Taib Ahmad berkata kejadian pada 12.30 tengah hari itu berlaku selepas lelaki berumur 21 tahun dan remaja berumur 15 tahun bersama tiga lagi rakannya memasuki kawasan sekolah itu semasa berlangsung program karnival jualan amal, dan pergaduhan tercetus antara mereka dengan beberapa suspek di dalam dewan sekolah.

“Salah seorang suspek kemudian menikam lelaki itu dan dia sempat melarikan diri sebelum rebah di luar sekolah akibat cedera di dada kanan, manakala remaja berkenaan pula cedera di lengan kiri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mohd Taib berkata bertindak atas maklumat orang awam, pihaknya bergegas ke sekolah itu dan menahan 12 suspek yang kesemuanya lelaki berumur antara 15 dan 21 tahun, dan sedang memburu beberapa lagi suspek bagi membantu siasatan.

Beliau berkata pergaduhan itu tidak melibatkan pelajar sekolah berkenaan, namun salah seorang daripada suspek yang ditahan merupakan bekas pelajar sekolah itu.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini untuk bedah siasat manakala yang cedera turut dirawat di hospital sama,” katanya dan menambah polis sedang mengesan senjata yang dipercayai pisau yang digunakan dalam kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.