Ketelusan PKR Wajar Dipertikai, Kata Ambiga

KUALA LUMPUR : PKR akan kehilangan gelaran sebagai reformis kerana kegagalan menjalankan proses pemilihan yang bersih dan adil.

Bekas Pengerusi BERSIH 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan, dalam perkongsian Twitter hari ini berkata, untuk kekal sebagai reformis, parti itu perlu memiliki kaedah pengundian yang dipercayai, lebih-lebih lagi kerana parti itu yang memulakan pergerakan BERSIH.

“PKR tidak lama lagi akan kehilangan gelaran reformis. Sebagai reformis, sekurang-kurangnya mereka perlu mempercayai pemilihan yang bersih dan adil. Mereka melakukannya beberapa tahun lalu, apabila mereka membantu memulakan pergerakan BERSIH,” katanya menerusi Twitter.

Twitter Ambiga itu merujuk kepada dakwaan seramai 13,000 pengundi dimasukkan ke dalam rekod keahlian PKR bahagian Julau, Sarawak pada Jun lalu, menjelang tarikh tutup keahlian baharu untuk mendapat hak mengundi.

Cabang Julau menjadi perhatian selepas berlaku kenaikan mendadak jumlah keahliannya daripada 603 kepada 13,000 ahli pada 27 Jun lalu sehingga laporan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ambiga berkata, PKR tidak seharusnya mengandaikan rakyat tidak melihat apa yang berlaku dalam pemilihan parti berkenaan, lebih-lebih lagi ia membabitkan belasan ribu keahlian dalam tempoh hanya sehari di cabang berkenaan.

Sejumlah besar ‘ahli baharu’ ini sudah membuat laporan polis mendakwa nama mereka dimasukkan ke dalam senarai keahlian PKR Julau tanpa kebenaran.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menjelaskan bahawa 13,000 nama diserahkan oleh Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien, yang menyertai parti itu pada 11 Mei selepas bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU-14) sebagai calon bebas, dan disahkan kepimpinan parti.

Bagaimanapun, pilihan raya di Julau digantung selepas mengalami serangan ‘malware’ pada komputer yang digunakan untuk proses e-pengundian.

Bagaimanapun, jawatankuasa pemilihan pusat PKR masih belum membuat keputusan mengenai kemungkinan pemilihan semula untuk Julau, membabitkan perebutan jawatan Timbalan Presiden antara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli.

Sementara itu, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan bahawa pemilihan parti belum selesai sepenuhnya.

Selain kontroversi Julau, pemilihan PKR turut dicemari insiden keganasan, tuduhan membeli undi dan masalah dengan sistem e-pengundi. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.