ZUHAIR AHMAD ZAKUAN
ZUHAIR AHMAD ZAKUAN 

Salah seorang peguam bela yang mewakili Datuk Seri Shahidan Kassim, Zuhair Ahmad Zakuan berkata, hal itu dapat dilihat apabila anak guamnya tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai pertuduhan kes cabul yang sepatutnya dihadapi pada Jumaat lalu.

Pada masa sama, Zuhair secara sinis berkata, hendak mencari Shahidan bukanlah sesusah memburu ahli perniagaan kontroversi, Jho Low sehingga bekas Menteri di Jabatan Menteri itu tidak dimaklumkan mengenai pertuduhan tersebut.

“Tidak pernah di dalam sejarah perundangan negara atau dunia sekali pun seseorang tertuduh itu tidak dimaklumkan mengenai pertuduhan yang bakal dihadapi itu.

“Malah pesalah trafik sekali pun dimaklumkan terlebih dahulu tentang sesuatu saman atau pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka. Situasi ini adalah tidak adil,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Hari ini, Shahidan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan mencabul seorang gadis bawah umur, baru-baru ini.

Walau bagaimanapun Ahli Parlimen Arau itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Dalam masa sama, Shahidan juga melahirkan rasa hairan mengapa mahkamah mengeluarkan waran tangkap tanpa notis dan membuat pertuduhan tanpa memaklumkan kepada beliau atau peguamnya terlebih dahulu.

Mengulas lanjut, Zuhair berkata, dia hanya tahu mengenai pengeluaran waran tersebut semasa berada di mahkamah pada Jumaat lalu, sedangkan anak guamnya pada masa itu berada di atas kapal terbang iaitu ketika dalam perjalanan pulang dari Mekah ke Malaysia.

“Jadi masyarakat boleh nilai sendiri situasi tersebut dan secara jujurnya saya agak kecewa,” katanya. – UTUSAN ONLINE