Idris Haron Dakwa Disabotaj, Dipinggir UMNO Melaka

MELAKA: Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron mendakwa seolah-olah ada unsur sabotaj apabila dirinya hanya diberikan notis jemputan pada saat akhir pada Majlis Lawatan Presiden UMNO ke Melaka, semalam.

Beliau juga mengakui terkejut dan kecewa apabila mendakwa hanya dimaklumkan mengenai kehadiran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis lalu menyebabkan dirinya tidak dapat memenuhi undangan ke majlis itu kerana tuntutan ke program lain.

Malah, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang turut membangkitkan kewajaran program berkenaan yang seolah-olah ‘disengajakan’ dianjur bersebelahan ‘kawasannya’, iaitu di DUN Paya Rumput yang menyaksikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tewas teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Presiden parti datang di (sebelah) kawasan saya di Sungai Udang dan saya tidak dapat hadir.

“Pertamanya, saya percaya apabila Presiden nak datang ini bukan secara tiba-tiba, sudah pasti ada perancangan dan pengendaliannya.

“Jadi, nak datang ke sini saya sebagai ADUN langsung tidak dirujuk, sebaliknya bawa Presiden parti ke tempat yang kita kalah paling teruk, tetapi hendak tunjuk seolah-olah kita kuat di sana, hendak buat apa?”katanya ketika ditemui NSTP semalam.

Semalam, ketidakhadiran Idris yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu pada program yang turut dihadiri Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu menimbulkan tanda tanya sehingga wujud dakwaan seolah-olah beliau diketepikan dalam program parti.

Pada majlis yang diadakan di Kampung Bertam Hulu di kawasan DUN Paya Rumput itu, kepemimpinan UMNO Melaka diwakili Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Mengulas adakah ketidakhadirannya sebagai protes kepada kepemimpinan UMNO negeri, Idris berkata terserah kepada mereka untuk membuat segala spekulasi tetapi yakin yang persepsi itu berlaku.

“Tetapi bagi saya, mesti ada suatu penghormatan (kepada bekas Ketua Menteri) dan juga penghargaan kepada sesiapa pun dalam usaha kembalikan kekuatan UMNO.

“Ini, (seolah-olah) mereka benci saya, kau nak panggil saya Yang Berhormat ke, Datuk Seri ke, tak nak panggil ke itu mereka punya pasal. Sekurang-kurangnya ada penghormatan buat ADUN di sana yang menang dari parti UMNO.

“Hendak panggil Presiden datang, sekurang-kurangnya malulah ini cawangan paling teruk kita kalah, kenapa kamu hendak reward (ganjaran) orang yang kalah,” katanya.

Idris berkata, ini bukan masanya untuk UMNO menunjukkan kekuatannya dengan mengumpulkan bilangan kehadiran yang ramai, sebaliknya mahu kehadiran yang benar-benar berkualiti untuk memperkukuhkan parti.

“Biar kita bawa seorang, asalkan seorang itu berkualiti daripada kita bawa 10,000 orang, tetapi tidak membawa sebarang erti. Cawangan yang Presiden datang ini cawangan UMNO paling hipokrit sekali.

“Malah, pada masa sama Presiden datang, saya dimaklumkan 80 orang UMNO daripada cawangan Tampoi, Krubong masuk BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) di Paya Rumput,” katanya.

Sementara itu, Ab Rauf ketika dihubungi menafikan dakwaan Idris kerana semua wakil rakyat UMNO diberikan jemputan seminggu lebih awal mengenai kehadiran Ahmad Zahid ke Melaka.

“Jemputan ini kita sudah hantar seminggu kepada semua. Boleh hubungi dan bertanya Datuk Sazali Muhd Din (Setiausaha Kerja UMNO Melaka), dia yang hantar jemputan untuk semua,” katanya ringkas. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.