Azmin Ali Umum Menang Pertahan Jawatan Timbalan Presiden PKR

KUALA LUMPUR – Mohamed Azmin Ali lebih awal telah mengumumkan kemenangannya dalam pemilihan parti kali ini walaupun perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR itu menentang Rafizi Ramli masih belum jelas dan penuh kekalutan.

Dalam suatu kenyataan yang ditandatangani beliau sebagai Timbalan Presiden PKR bagi penggal 2018-2021, Azmin mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya kerana meneruskan “agenda sebenar reformasi.”

Azmin turut membuat pengumuman yang sama di dalam Twitter peribadinya.

Sementara itu, Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan masih lagi tidak berputus-asa berharap akan menang pertandingan kali ini.

Malaysiakini melaporkan keputusan tidak rasmi, Azmin kini memiliki 67,449 undi berbanding Rafizi yang mendapat 62,716 undi, dengan majoriti 4,733 undi.

Azmin mencapai kemenangan besar pada separuh kedua pemilihan di Sarawak dan pemilihan semula untuk beberapa bahagian di Negeri Sembilan, Selangor dan Melaka.

Portal itu melaporkan walau bagaimanapun, masih terdapat beribu-ribu “undi ragu” yang masih belum ditambah pada pengiraan.

Kategori pemilih ini merujuk kepada mereka yang layak untuk mengundi dan tidak dapat memastikan saluran undinya, tetapi dibenarkan mengundi.

Ibu pejabat PKR akan berhadapan tugas sukar untuk mengesahkan “undi ragu” sebelum Jumaat ini, iaitu hari permulaan kongres perwakilan nasional tahunan PKR selama tiga hari.

Sesuatu yang tidak dapat dipastikan lagi sekarang jika cabang PKR di Julau dan Tawau akan mengadakan pemilihan semula.

Ia adalah ekoran pemilihan PKR Cabang Julau terhalang oleh hujan lebat, yang membatasi kehadiran pengundi serta terdapat tuduhan serangan perisian hasad pada komputer yang digunakan untuk sistem e-undi, menyebabkan pemilihan di sana digantung pada sekitar pukul 2 petang.

Sementara itu, di Tawau, terdapat dakwaan gangguan komputer membolehkan pemilih untuk mengundi beberapa kali. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.