Ali Tinju Serah Borang Sertai PPBM

KUALA LUMPUR – Presiden Gerakan Baju Merah, Mohd Ali Baharom atau Ali Tinju mengesahkan telah menyerahkan borang untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Ketika dihubungi MalaysiaGazette dan ditanya tentang sekeping gambar menunjukkan sedang menyerahkan borang, Ali menjawab: “Betul.”

Beliau yang sebelum ini sinonim sebagai penyokong tegar bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dilihat menyerahkan borang keahlian parti itu di kawasan Bandar Tun Razak.

Dalam satu gambar yang dikirimkan kepada MalaysiaGazette, Ali yang berkemeja putih menyerahkan borang keahliannya kepada bahagian itu disaksikan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu (PPBM) Bandar Tun Razak, Mohd Shahni Ismail.

Pada Mei 2012 lalu, Ali Tinju mengeluarkan kenyataan bahawa beliau adalah seorang panglima kepada Najib dan sanggup mempertahankan bekas Perdana Menteri itu.

Image result for ali tinju senaman punggung

Senaman punggung yang pernah dipopularkan oleh Ali Tinju pada 2012.

Ali pada 2015 ditahan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan selepas kenyataannya tersebar di aplikasi WhatsApp.

Kenyataan Ali dalam WhatsApp menyebut, ‘Pesanan dari Ali Tinju-Ketua Gerakan Merah’ disertai rakaman suara yang berbunyi:

“Meminta org Melayu bersatu untuk mempertahankan bangsa kuasa Melayu supaya tidak menderita seperti di Singapura. Menyeru orang Melayu gempur untuk menakutkan peniaga Cina.”

Kenyataan itu dipercayai dibuat susulan kekecohan dan rusuhan di Kompleks Kota Raya di ibu negara, tiga tahun lalu. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.