Sultan Nazrin Sertai Larian Hari Keputeraan Sultan Perak

KUALA KANGSAR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, menyertai Larian Hari Keputeraan Sultan Perak 2017 di Dataran Pavillion di sini, hari ini.

Turut menyertai larian, Raja Kecil Besar, Raja Azlan Muzaffar Shah dan puteri Sultan Perak, Raja Nazira Safya.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli, serta barisan EXCO negeri.

Larian yang memasuki kali ketiga penganjuran sempena Hari Keputeraan Sultan Perak yang disambut 3 November lalu, menyaksikan lebih 6,000 penyertaan dari dalam dan luar negara.

Sultan Nazrin turut berkenan melakukan pelepasan peserta larian pada jam 7 pagi membabitkan kategori 15 kilometer (km) dan 10km.

Pelepasan peserta kategori pelajar sejauh 7km pula dilepaskan oleh Raja Azlan Muzaffar Shah dan diikuti dengan pelepasan bagi kategori tetamu kehormat yang membabitkan jarak 2km oleh adinda Sultan Nazrin, Raja Datuk Seri Yong Sofia.

Acara bermula seawal jam 6.20 pagi itu turut diserikan dengan kehadiran pelakon Malaysia yang menempa nama di persada antarabangsa, Tan Sri Michelle Yeoh. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.