Seks Rambang Penyumbang Kedua Terbesar Jangkitan HIV, AIDS

BALIK PULAU – Sebanyak 108,519 kes jangkitan HIV dan AIDS direkodkan di negara ini sejak 1986 hingga tahun lepas dan negeri Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 26 peratus daripada jumlah kumulatif itu.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata aktiviti seks rambang membabitkan seks sesama jantina dikenal pasti sebagai punca kepada kes baharu jangkitan HIV dan AIDS di negara ini.

“Dulu penyakit AIDS ni berjangkit majoriti menerusi perkongsian jarum. Kami dah buat program pemberian jarum percuma kepada mereka yang berisiko melalui pelbagai cara termasuk penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Hari ini dah terbalik, banyak kes-kes baharu HIV dan AIDS akibat daripada aktiviti seks rambang.

“Seks rambang antara lelaki dan perempuan serta seks rambang antara lelaki dengan lelaki. Yang ni pun berlaku banyak. Apa yang mengejutkan banyak kes seks rambang antara lelaki dengan lelaki ini melibatkan mereka dalam bidang profesional,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari AIDS Sedunia 2017 peringkat negeri Pulau Pinang, di sini hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah kumulatif itu, 62.68 peratus berpunca daripada kalangan pengguna dadah yang berkongsi jarum suntikan manakala 27.96 peratus daripada hubungan seksual dan selebihnya berpunca jangkitan daripada ibu kepada anak.

Dr Hilmi berkata kaum lelaki menyumbang sebanyak 88 peratus daripada keseluruhan kes di negara ini, wanita (11 peratus) dan kanak-kanak (satu peratus).

“Situasi ini menunjukkan HIV dan AIDS masih lagi menjadi antara penyakit yang masih mendatangkan ancaman kepada penduduk di negara ini. Daripada aspek transmisi pula hubungan seks dan penagihan dadah merupakan transmisi utama kepada jangkitan HIV. Maknanya, kedua-dua masalah sosial ini adalah gejala sosial utama yang perlu dibendung,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Hilmi berkata kadar jangkitan HIV dan AIDS di negara ini menunjukkan penurunan pada tahun lepas iaitu daripada 28 kes kepada 10.5 kes bagi setiap 100,000 penduduk dengan 3,000 kes baharu direkodkan setiap tahun.

“Kita dah lebih daripada target kita iaitu 11 kes bagi 100,000 penduduk tapi sekarang dah turun 10.5 kes. Kematian akibat jangkitan HIV dan AIDS pula dianggarkan kira-kira 1,000 kematian setiap tahun,\” katanya.

Beliau berkata walaupun epidemik HIV dan AIDS di negara ini menunjukkan kemajuan yang baik, namun ia masih terus dilihat sebagai cabaran kesihatan dalam masyarakat terutamanya akses aktiviti pencegahan HIV dan AIDS dan intervensi perubahan tingkah laku yang masih belum memberikan impak seperti yang diharapkan.

Selain itu, katanya perubahan corak transmisi HIV daripada penagihan dadah secara suntikan kepada seksual juga memerlukan perubahan fokus aktiviti yang perlu diberi perhatian. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.