Saiz Lubang Misteri Boleh Membesar

KOTA KINABALU — Saiz lubang misteri yang ditemui penduduk Kampung Rampai, Sikuati, Kudat dekat sini, semalam boleh merebak menjadi besar.

Pakar geologi dari Universiti Malaysia Sabah berkata keretakan serius boleh berlaku jika kawasan setempat kejadian, padat dengan bangunan dan dilalui kenderaan berat, lapor Kosmo.

“Fenomena ini memberi ancaman kepada manusia kerana lubang yang terbentuk sukar untuk dipastikan sama ada bersaiz besar atau kecil. Kadang kala daripada lubang kecil ia boleh merebak menjadi besar,” kata profesor Shariff Abd Kadir S Omang. 

Beliau tidak menolak kemungkinan pembentukan lubang berdiameter 0.3 meter dan sedalam 3.6 meter itu berpunca dari cahaya, selain faktor geologi atau hakisan bawah tanah.

Lubang itu juga mungkin terjadi disebabkan fenomena lubang benam (sinkhole) yang biasa berlaku pada musim banjir atau selepas hujan, katanya.

Pakar geologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Tajul Anuar pula berkata lubang benam boleh berlaku di kawasan batuan batu kapur di Batu Caves, Selangor, selain Perak dan Kedah.

Semalam, penduduk kampung John Ukong, 47, mendakwa nampak “cahaya aneh terang menjunam dari langit” kira-kira 2 pagi semalam dan terkejut apabila menemui lubang tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.