Pemilihan Semula CEC DAP Berlangsung Hari Ini

SHAH ALAM – DAP hari ini mengadakan Kongres Khas Kebangsaan bagi memilih Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) baharu selepas pemilihan pada 2012 dianggap tidak sah oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Tumpuan ialah kepada ‘dua beranak Lim’ iaitu Setiausaha Agung, Lim Guan Eng dan bapanya yang kini Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, sama ada mereka akan berjaya mengekalkan kedudukan dalam senarai CEC seperti sebelum ini atau sebaliknya.

Beberapa kekecohan kecil berlaku di luar dewan persidangan apabila penyokong calon berkempen pada saat akhir termasuk yang secara terang-terang membawa sepanduk meminta perwakilan tidak memilih Guan Eng berikutan kes mahkamah berkaitan rasuah yang sedang dihadapinya.

Pada 7 Julai lalu, ROS mengarahkan DAP mengadakan semula pemilihan CEC selepas mendapati pelantikan anggota CEC dan pemegang jawatan utama parti berkenaan pada 29 September 2013 dianggap tidak sah.

Pemilihan semula yang perlu berdasarkan senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC bertarikh 15 Disember 2012, iaitu membabitkan 2,576 perwakilan dari 865 cawangan.

Pemilihan CEC hari ini adalah kali ketiga diadakan untuk jawatan bagi penggal 2013 hingga 2016 yang diselia oleh syarikat juruaudit bebas Grant Thornton.

Mandat anggota CEC dan pemimpin lain parti itu berakhir pada September lalu namun perlembagaan DAP membenarkan pemilihan ditunda sehingga 18 bulan.

Guan Eng ketika berucap merasmikan kongres itu hari ini berkata DAP akur arahan ROS untuk mengadakan pemilihan semula kerana bimbang tidak dapat menggunakan lambang ‘roket’ pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Katanya, DAP pada mulanya bercadang menolak arahan itu dan merujuk ke mahkamah, namun terpaksa melupakan pilihan itu kerana tidak mahu menanggung risiko diharamkan menggunakan lambang roket dalam PRU-14.

“Kita sudah bercadang membawa ROS ke mahkamah (mencabar arahan) tetapi selepas berbincang dan mendapat pandangan semua pihak termasuk golongan veteran, mereka menasihatkan jangan bawa ke mahkamah.

“Kalau cabar ke mahkamah, mereka kata kita mungkin tidak akan dapat menggunakan lambang ‘roket’. Oleh sebab itu kita buat keputusan mengadakan semula pemilihan CEC,” katanya.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang turut mengingatkan ROS agar tidak ‘mengganggu’ DAP lagi atas alasan melanggar peraturan pertubuhan kerana mendakwa parti itu patuh kepada undang-undang.

“Jika DAP diganggu lagi dengan bermacam-macam lagi arahan, kami akan lawan habis-habisan dan akan pastikan Barisan Nasional (BN) tidak akan menang dalam PRU akan datang,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.