Pelajar Sekolah Antara Golongan Penyumbang Kemalangan Maut

MELAKA – Lebih 1,000 kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan melibatkan pelajar sekolah dalam tempoh Januari hingga September tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor yang dipetik Bernama berkata angka kematian itu melibatkan pelajar sekolah berusia antara enam hingga 20 tahun, lapor Awani.

Menurutnya, jumlah golongan itu yang cedera parah akibat kemalangan jalan raya bagi tempoh sama seramai 1,150 orang manakala 1,675 mengalami cedera ringan.

“Untuk rekod, sebanyak 5,083 kematian direkodkan daripada 400,788 kes kemalangan jalan raya di negeri ini dalam tempoh Januari hingga September tahun ini.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 1,077 kematian direkodkan melibatkan pelajar sekolah berusia enam hingga 20 tahun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Pencegahan Jenayah di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Sun Teoh Tia dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Prof Datuk Dr Izaidin Abdul Majid.

Dalam pada itu, Sharul Othman memaklumkan, kematian akibat kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal berusia 16 hingga 25 tahun adalah tertinggi direkodkan iaitu sebanyak 1,043 kes daripada 3,232 kes.

“Penunggang dan pembonceng motosikal masih lagi menjadi kumpulan pengguna jalan raya yang paling terdedah serta berisiko tinggi terlibat dalam kes kemalangan jalan raya di negara ini.

“Siasatan mendapati, angka tertinggi bagi golongan ini kerana kebanyakan mereka sering mengabaikan isyarat lalu lintas dan aspek keselamatan yang lain,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.