Hantar Bas Amfibia Bulan Ini atau Berdepan Tindakan Saman – Ahmad Razif

KUALA NERUS — Kerajaan Terengganu memberi tempoh sehingga akhir bulan ini kepada pembekal bas amfibia (amphicoach) untuk membuat penghantaran bas berkenaan atau berhadapan tindakan saman.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, tindakan undang-undang akan diambil sekiranya pihak berkenaan gagal membuat penghantaran dalam tempoh ditetapkan itu.

“Sehingga ini kerajaan negeri masih belum menerima bas berkenaan di mana sebelum ini pihaknya mendapati terdapat masalah teknikal, namun ia telah dapat diselesaikan.

“Bas itu sudah siap dan masih berada di Malta, namun saya difahamkan ada masalah penghantaran. Tetapi itu masalah pembekal, bukan soal kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis khatam Quran kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) negeri Terenganu di sini semalam.

Ahmad Razif berkata, beliau sudah memberi kata dua kepada pembekal dan meminta penasihat undang-undang negeri dan Jabatan Kerja Raya, mengambil tindakan undang-undang sekiranya perlu berikutan kelewatan berkenaan.

Ahmad Razif berkata, bas jenis Amphicoach itu dibeli kerajaan negeri dengan harga RM3 juta pada 2014 dan dijangka tiba pada Mei 2015 bagi merancakkan industri pelacongan selain digunakan ketika musim banjir.

Bagaimanapun kerajaan negeri memaklumkan kelewatan bas itu disebabkan keputusan kerajaan negeri yang mahu Amphicoach itu diterima dengan mematuhi sepenuhnya spesifikasi ditetapkan selain masalah transit dan masalah persijilan yang turut memakan masa kerana bergantung sepenuhnya pada keadaan cuaca di Malta.

Ahmad Razif berkata, mengikut perjanjian terbaru, Terengganu sepatutnya menerima bas berkenaan pada Jun lalu selepas beberapa kali tertangguh sejak 2015, namun sekali lagi ia gagal dipatuhi pihak pembekal. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.