Bekas Pengasas Bersama Cabar Mukhriz Berdebat Halatuju PPBM

KUALA LUMPUR – Bekas pengasas bersama PPBM, Kamarulazman Habibur Rahman melontarkan cabaran kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk berdebat berhubung hala tuju PPBM samada benar berjuang untuk kepentingan negara atau sebaliknya.

“Dalam usaha melahirkan budaya politik yang lebih sihat, marilah kita raikan perbedaan pendapat selagi ia berteraskan hujah dan kebenaran sebenar.

“Saya berpendapat bahawa pemimpin boleh berdebat secara ilmiah walaupun berasal daripada parti atau pandangan politik yang berlainan.

“Ayuhlah Mukhriz Mahathir duduk sepentas dengan saya untuk berdebat secara terbuka agar rakyat Malaysia tahu apakah anda dan PPBM memperjuangkan Malaysia yang lebih gemilang (atau sebaliknya),” katanya.

Kamarulazman berkata, Mukriz selaku Timbalan Presiden PPBM seharusnya sudah mampu berdikari membuat keputusan sendiri dan tidak lagi bergantung pada pengaruh Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Anda tidak perlu lari dan berselindung di belakang ayahanda tercinta yang sentiasa memberi talian hayat. Sahutlah cabaran untuk berdebat dengan saya pada hari Jumaat 17 November 2017 jam 9. 00 malam,” ujarnya.

Bekas Setiausaha Kerja PPBM itu memberi tempoh 72 jam untuk Mukhriz menjawab cabaran tersebut.

Kamarulazman dalam pada itu menjelaskan bermula semalam, beliau telah turut serta dalam diskusi yang membincangkan asal usl tujuan penubuhan PPBM.

Dalam forum bertajuk “PPBM Penyebab Kemusnahan Bangsa Siri 1: Penubuhan Bermotifkan Kepentingan Peribadi” anjuran MyKMU.Net, Agendadaily dan MyMassa.TV semalam, beliau mendedahkan peranan DAP dan NGO bukan Melayu yang membawa kepada tertubuhnya parti serpihan UMNO itu.

“Orang Melayu atau rakyat malaysia perlu sedar bahawa (mesyuarat) post mortem yang dijalankan telah dihadiri oleh bukan sahaja pemimpin parti politik Melayu tetapi ia juga dihadiri oleh pemimpin parti politik bukan Melayu, DAP dan NGO-NGO bukan Melayu.

“Dalam mesyuarat itu, satu rumusan dibuat, bahawa sekiranya Pakatan Harapan atau pihak pembangkang mahu melihat kejayaan dalam pilihan raya umum akan datang, sesuatu perlu dilakukan ke atas UMNO iaitu suatu usaha perlu dijalankan untuk memecahkan kekuatan UMNO.

“Mereka akhirnya telah mengambil keputusan bahawa sebuah parti politik Melayu baru perlu ditubuhkan (kerana) ini satu satunya cara untuk menarik sokongan Melayu keluar dari UMNO,” katanya di forum tersebut. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.