‘Saya Lontarkan Adalah Satu Hal Positif’ – Ramli MS

“Beginilah, setiap kali seseorang peserta mula memegang mikrofon dan menyanyi, itu adalah satu bisnes yang serius buat saya,”kata Juri Gegar Vaganza, Datuk Ramli MS yang menerima kecaman daripada netizen gara-gara memberikan kritikan pedas kepada peserta program itu, Elly Mazlein.

 

 

Ramli atau dipanggil Tok Ram berkata, dia tidak membandingkan mana-mana peserta tersebut dengan pendatang baharu tetapi melalui lingkungan mereka.

 

 

“Bunyi tidak pernah menipu.Sebab itu saya katakan, di atas pentas seperti Gegar Vaganza, jangan main bangsawan dengan saya. Apabila saya katakan seseorang peserta itu tidak bagus, itu bermaksud tidak bagus dalam liganya sendiri

 

 

“Bukan saya bandingkan dengan pendatang baharu misalnya, kerana penyanyi lama sudah ada ilmu dan roh dalam nyanyian mereka. Jadi sebagai seorang penyanyi lama, mereka tidak lagi boleh masuk dalam zon melakukan kesilapan teknikal kerana itu sudah menjadi makanan mereka,” ujarnya, petik Kosmo.

 

 

Tambahnya beliau membuat penjurian dalam program nyanyian, hal yang diberi keutamaan adalah vokal dan kreativiti penyanyi memecahkan kepompong selesa mereka.

 

 

Beliau tidak boleh prejudis atau meletakkan dirinya dalam dua kategori yang selalu membuat khalayak kurang rasional.

 

 

“Khalayak perlu faham. Saya melakukan penjurian terhadap lagu yang menjadi hierarki paling tinggi dalam sesebuah pertandingan kerana lagu mampu bertahan beribu tahun. Saya perlu memberi fokus terhadap vokal.

 

 

“Saya tidak nafikan, suara adalah anugerah Tuhan, tetapi apa yang saya cari adalah bagaimana seseorang penyanyi meletuskan sensasi dalam setiap persembahan mereka dengan skil atau kreativiti yang membezakan mereka berbanding penyanyi asal.

 

 

“Saya tidak boleh prejudis atau duduk dalam kelompok khalayak yang menilai penyanyi kerana dua perkara iaitu minat kepada personaliti penyanyi dan minat lagu yang disampaikan penyanyi. Hal ini kerana apa yang saya cari adalah intelektual yang digunakan penyanyi setiap kali beraksi.”ujarnya lagi.

 

 

Dalam pada itu, ditanya mengenai kelancangan atau istilah ‘mulut puaka’ yang dilabelkan kepada dirinya sejak sekian lama menjadi juri dalam pelbagai program, Ramli hanya ketawa.

 

 

“Beginilah, saya seorang yang berterus terang. Saya tidak cakap belakang atau suka memberi kiasan. Saya tidak pandai. Saya akan cakap telus apa yang saya mahu cakap. Tetapi bagaimana seseorang itu mengambil kata-kata saya secara positif atau sebaliknya.

 

 

“Sudah lama saya menjadi juri atau melakukan tanggungjawab mengkritik. Tetapi saya juga mahu tanya, adakah pernah kritikan saya yang dikatakan tidak sensitif atau mengaibkan seseorang sehingga membunuh karier mereka? Tanya kepada para peserta, apakah pelajaran yang mereka peroleh jika mengambil kritikan saya secara positif?

 

 

“Saya tidak boleh mengubah pemikiran seseorang yang mahu menjadikannya negatif, walhal apa yang saya lontarkan adalah satu hal positif yang perlu diambil untuk mempertingkatkan diri kerana pada akhirnya, ilmu itu adalah untuk mereka, bukan untuk saya,” ujarnya yang mengaku sudah banyak bertoleransi berbanding 12 tahun lalu.

 

 

Tambahnya lagi, jika beliau memasukkan unsur prejudis dalam penjurian, para peserta tidak akan mendengar sebarang kritikan atau komen daripadanya.

 

 

“Sebab saya adalah orang yang jika saya betul-betul tidak suka, saya akan diam. Jadi kalau khalayak mahu menilai sama ada saya sedang melakukan penjurian dengan emosi bukannya profesional, perhatikan apabila saya tidak punya sebarang komen untuk dikongsi,” kongsinya lagi.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.