Selangor Jimat RM800 Juta Jika Tidak Politikkan Isu Air

SHAH ALAM – Kerajaan negeri boleh menjimatkan wang rakyat sebanyak RM800 juta sekiranya tidak melengah-lengahkan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) yang dirancang khusus bagi menangani masalah bekalan air bersih untuk rakyat.

 

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Noh Omar berkata, meskipun kerajaan negeri menyatakan telah memberi kelulusan terhadap beberapa permohonan dan dokumentasi Langat 2 pada Julai lalu, namun pembinaan projek itu sepatutnya sudah siap dan mula beroperasi tahun lalu sekiranya mereka memberi kerjasama kepada Kerajaan Pusat lebih awal lagi.

 

“Itu sebab selama ini kita (UMNO Selangor) memberi penekanan kepada kerajaan negeri supaya tidak mempolitikkan isu air dengan membenarkan Langat 2 dibina dan disiapkan mengikut jadual iaitu pada tahun lalu.

 

“Namun, akibat tindakan kerajaan negeri melengah-lengahkan projek itu sebelum ini, maka Langat 2 tidak dapat disiapkan mengikut tempoh dirancang. Sebaliknya pembinaan Langat 2 mengalami kelewatan dan dijangka siap pada 2019 sedangkan pembinaannya dirancang sejak 2008.

 

“Hari ini, kerajaan negeri dilaporkan mahu bina loji rawatan air baharu dan untuk membinanya difahamkan menelan belanja RM800 juta.

 

Sepatutnya loji ini tidak perlu dibina sekiranya kerajaan negeri bersetuju lebih awal dengan projek Langat 2,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

 

Isnin lalu Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dilaporkan akan membina dua loji rawatan air baharu iaitu Loji Rawatan Air Semenyih 2, Hulu Langat dan Loji Rawatan Air Labohan Dagang di Kuala Langat yang menelan belanja sebanyak RM800 juta sementara menanti siapnya projek Langat 2.

 

Pembinaan itu menurut Mohamed Azmin adalah bagi mengurangkan krisis kekurangan bekalan air terawat untuk keperluan rakyat dan industri negeri yang mana proses tender bagi kedua-dua projek itu masing-masing akan bermula pada Disember tahun ini dan Mac tahun depan. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.