Pemimpin DAP, PKR Gesa PAS Undi Tolak Bajet 2016

SHAH ALAM – Pas tidak boleh ambil sikap berkecuali bagi menolak bajet yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memandangkan ia adalah pelaksanaan dasar kerajaan BN yang tidak dipersetujui.

 

Ketua Whip Ahli Parlimen PKR, Datuk Johari Abdul berkata, penolakan bajet oleh pembangkang amalan biasa dalam sistem demokrasi berparlimen malah ia juga bukan perkara aneh bidang politik.

 

“Sikap berkecuali seperti yang dicadangkan Pas tidak wajar diambil oleh pihak pembangkang dewasa ini kerana ini bukan sekadar berhubung cara kutipan hasil tetapi juga melibatkan keutamaan dalam penggunaan wang rakyat. Sikap berkecuali tidak akan membantu rakyat  dan menjadikan kehadiran pihak berkenaan (Pas) di Parlimen seolah-olah seperti tidak bermakna,” katanya.

 

Menurut Johari, pada tahun ini, keadaan dilihat sedikit berbeza memandangkan ada ahli Parlimen BN yang berkemungkinan akan turut sama menolak pembentangan bajet oleh kerajaan.

 

Johari berkata, jika cadangan bajet ditolak, pasti akan timbul tanggapan bahawa kakitangan kerajaan tidak akan menerima gaji, hospital tidak akan menerima bekalan ubat-ubatan dan sebagainya.

 

“Namun hakikatnya bukan itu yang bakal terhasil. Sebaliknya, penolakan bajet akan memberi pukulan hebat kepada Najib selepas usul undi tidak percaya ke atas beliau berkemungkinan besar tidak akan diangkat untuk perbahasan oleh kerajaan,” katanya.

 

Dalam pada itu, menerusi kenyataan media  sama, Ketua Whip Ahli Parlimen DAP, Anthony Loke menyatakan jika cadangan bajet ditolak, kerajaan terpaksa membentangkan bajet alternatif yang boleh dipersetujui Parlimen atau meletakkan jawatan serta memberi laluan kepada pembentukan Kabinet baharu.

 

Menurut beliau, memandangkan pengundian bajet akan dilakukan 16 November, tempoh masa bagi membentangkan semula bajet atau membentuk Kabinet baharu lebih daripada mencukupi.

 

“Seperti mana disebut Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar sebelum ini di mana, beliau (Najib) boleh bubarkan Parlimen untuk adakan pilihan raya peringkat Parlimen.

 

“Pembubaran Parlimen boleh dilakukan terlebih dahulu selepas bajet diluluskan untuk tempoh tiga bulan bertujuan menjamin perjalanan kerajaan malah dalam tempoh itu,  pihak memenangi pilihan raya Parlimen akan membentuk kerajaan dan menyediakan bajet baharu untuk diluluskan Parlimen,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Whip Ahli Parlimen Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, pihaknya berharap agar tiada sesiapa yang cuba menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat terhadap tindakan menolak bajet berkenaan.

 

Menurutnya, penolakan harus dilihat peluang bagi membetulkan kembali bajet yang membebankan rakyat.

 

“Sekiranya bajet baharu dikemukakan, mungkin ia akan dapat memasukkan beberapa pindaan seperti seperti kadar GST dapat disifarkan, pembasmian rasuah dapat diutamakan, usaha kronisme dapat ditamatkan dan subsidi serta bantuan yang lebih bermakna kepada rakyat dapat dilaksanakan,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!