Jurunikah Salah Tempat, Majlis Nikah Mila AF Tertangguh Dua Jam

SUBANG JAYA – Majlis pernikahan juara Akademi Fantasia musim kelima, Mila Jirin tertangguh hampir dua jam gara-gara jurunikah tersalah lokasi majlis tersebut.

 

Mila atau nama sebenarnya Noorsyarmilla Jirin sepatutnya dinikahkan selepas solat Asar pukul 4.30 petang semalam.

 

Jurunikah iaitu Imam dan Penolong Pendaftar Perkahwinan Masjid Jamek Batu 12, Puchong, Zainal Khamis hanya muncul hampir pukul 6 petang.

 

Beliau sempat memohon maaf kepada ibu bapa pengantin kerana terlewat akibat tersalah lokasi.

 

Namun akhirnya Mila selamat dinikahkan oleh Zainal berwalikan bapa penyanyi itu, Jirin Borhan pukul 6.20 petang.

 

Bagaimanapun suasana sebelum itu menjadi pilu apabila Zainal meminta suami Mila, Ahmad Alis Mohamed Mustapha mencium dan memohon maaf kepada ibunya sambil dia menyanyikan lagu Sudirman bertajuk Ayah dan Ibu.

 

Penyanyi berusia 28 tahun itu mengakhiri zaman gadisnya apabila selamat diijabkabulkan dengan Ahmad Ailis di ECity Hotel, One City, Subang Jaya.

 

Majlis bersejarah itu turut disaksikan hampir 200 kenalan serta ahli keluarga terdekat kedua-dua mempelai.

 

Ahmad Ailis, 36, yang juga merupakan pengurus dan rakan niaga Mila sah menjadi suami penyanyi itu dengan sekali lafaz sahaja.

 

Pada majlis itu, Mila tampil anggun dengan  persalinan rona putih hasil sentuhan pereka tempatan, Seth & Luna Jimiey Whang.

 

Pada majlis yang serba ringkas itu, pasangan tersebut bertukar-tukar dulang hantaran yang mana pihak lelaki menghantar lima dulang hantaran dan mas kahwin RM1,001 serta wang hantaran RM23,128.70.

 

Pihak perempuan pula membalas dengan tujuh dulang hantaran.

 

Pasangan itu akan mengadakan majlis persandingan berkonsepkan tradisional di Hotel Tabung Haji, Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 20 Disember depan.

 

Sebuah lagi majlis makan malam bagi meraikan media dan rakan niaga pasangan ini akan diadakan di Hotel E.City, One City pada 23 Januari depan. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.