Sindiket Jerat Mangsa Kaut Puluhan Ribu Ringgit

Shah Alam – Cari kenalan, bina kepercayaan dan tipu.

Ini modus operandi dipercayai dijalankan sepasang suami isteri yang menyediakan perkhidmatan pakej pelancongan murah ke luar negara, membekal produk kecantikan, import dan eksport barangan, sewa kedai sehingga gajet elektronik yang menyasarkan golongan ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ dan usahawan sebagai mangsa terbaru demi mengaut keuntungan mencecah puluhan ribu ringgit setiap bulan.

Taktik licik pasangan itu yang hanya bermodalkan ayat manis untuk memperdayakan mangsa melalui tawaran perkhidmatan yang diberikan.

Lebih malang, bukan sahaja mangsa menyedari dirinya ditipu dengan pelbagai helah dan alasan, malah duit yang telah dilaburkan tidak dikembalikan.

Difahamkan, kegiatan ini berlaku sejak tahun 2009 dan ia mendorong mangsa penipuan pasangan terbabit menubuhkan satu kumpulan di Facebook iaitu ‘Kelab Mangsa-Mangsa Penipuan S***** & N***’ yang kini berjaya menarik hampir 1,000 ahli bagi mengelak orang ramai menjadi mangsa terbaru.

“Group ini diwujudkan adalah untuk menyedarkan tentang kegiatan jahat si S***** dan N*** si saudagar penipu. Marilah kita sama-sama bersatu menjatuhkan mereka serta keturunan mereka,” itu paparan maklumat di laman tersebut.

Hasil pemerhatian di laman tersebut, portal Rakyat Post berkesempatan menemui beberapa mangsa penipuan dalam satu pertemuan ringkas di Shah Alam.

Menurut salah seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Mar, dia mengenali pasangan suami isteri itu ketika membuat tempahan perkhidmatan membuat hamper di syarikat mereka pada tahun lepas.

Usahawan yang berusia 35 tahun itu menjelaskan setelah menjadi pelanggan tetap di syarikat tersebut, pasangan terbabit mula meyakinkannya untuk menerima perkhidmatan pakej pelancongan ke luar negara dengan tawaran yang murah daripada harga pasaran.

Dia yang bersetuju menempah pakej percutian ke Korea seramai 12 orang membuat bayaran sejumlah RM36,000 pada Mei 2013 untuk perjalanan yang dirancang pada 30 November 2013 namun menyedari dirinya ditipu setelah gagal mendapat tiket seperti yang dijanjikan.

“Saya difahamkan pasangan suami isteri itu sudah banyak menipu orang ramai dengan menggunakan pakej pelancongan murah ke luar negara sebagai tarikan.

“Bila sudah masukkan duit ke akaun mereka, tiket masih tak dapat. Apabila saya bertanya, pelbagai alasan diberikan sehingga duit saya sebanyak RM36,000 hangus sekelip mata,” luah Mar sambil menunjukkan salinan laporan polis yang dibuatnya.

Bagi EnKay, pengalaman berurusan dengan pasangan penipu itu bagaikan mimpi ngeri yang tidak pernah berlaku sepanjang hidupnya.

Atas faktor kepercayaan terhadap pasangan itu setelah diperkenalkan kenalannya pada Mei lalu, membuatkan EnKay terpengaruh dengan janji manis tawaran pakej pelancongan murah ke luar negara.

“Saya menempah dan membuat bayaran berjumlah RM15,000 untuk enam tiket ke luar negara dan dia memberi satu salinan jadual penerbangan yang ditempah dari sebuah syarikat penerbangan sebagai bukti.

“Sehingga tarikh yang dijanjikan, dia hanya memberi saya satu tiket perjalanan. Bila saya periksa dengan pihak syarikat penerbangan, rupanya salinan tersebut adalah palsu dan segala kod tempahan tiket milik kepunyaan orang lain,” jelasnya yang namanya enggan disiarkan.

Menyedari dirinya ditipu, dia kemudiannya membuat laporan polis setelah pelbagai helah digunakan pasangan terbabit untuk tidak memulangkan wang miliknya.

Pendedahan selanjutnya akan membawa pengakuan salah seorang mangsa bergelar ‘datuk’ yang mendakwa turut ditipu oleh pasangan terbabit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.