Sidang Dewan Rakyat Kecoh, Undian Berbelah Bagi Diadakan

Kuala Lumpur – Sidang Dewan ‎Rakyat hari ini(Selasa) kecoh sehingga menyaksikan Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ismail Mohamed Said mengadakan undian berbelah bahagi setelah Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bangkit untuk membantah kelulusan bacaan Rang Undang-Undang Perbekalan (2015) peringkat Jawatankuasa Kementerian Kewangan.

Undian berbelah bagi itu dilakukan berikutan ‘ketegangan’ yang tercetus apabila Timbalan Speaker Dewan Rakyat tidak mempedulikan Ahli Parlimen Petaling Jaya‎ Utara Tony Pua untuk meneruskan soalan kepada Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Usul tersebut adalalah Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2015 mengikut subseksyen 4(3) Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966 (Akta 406) membuat ketetapan suatu jumlah wang sebanyak tidak lebih dari RM50,499,994,000 dibelanjakan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi tahun 2015.

Sejurus selepas Timbalan Speaker Dewan Rakyat membaca aturan urusan mesyuarat, ahli Parlimen Pakatan Rakyat bangun bagi membantah bacaan kali kedua diteruskan.

Kerana tidak berpuas hati, Ahli Parlimen Seremban, Loke Siew Fook meminta undi belah bahagi diadakan yang kemudian menyaksikan hampir lebih 15 orang Ahli Parlimen Pembangkang bangun menyokong usul tersebut.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat menggunakan peraturan Dewan 46(4) selepas melihat lebih 15 ahli dewan bangun.

“Mengikut undang-undang Dewan Rakyat, loceng akan dibunyikan selama dua minit ‎dan semua Ahli Parlimen perlu kembali dalam dewan untuk kiraan dimulakan,” kata Timbalan Speaker.

Sementara menunggu keputusan undi belah bahagi, beberapa Ahli Dewan Pembangkang mengkritik Datuk Chua Tee Yong yang tidak mahu menjawab soalan mereka berkenaan ‘kontroversi’ 1MDB.

“Walaupun mereka (kerajaan) menang, hakikatnya menteri tidak jawab soalan,” kata Ahli Parlimen Shah Alam , Khalid Samad.

“Didik menteri itu betul-betul, dia tak tahu jawab soalan, didik dia,” jerit Ahli Parlimen Kapar, Manivanan Gowin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim lantas membangun dan menjerit, “You Shut Up!” apabila Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua menjerit “malu” (ditujukan kepada Chua Tee Yong).

Kemudian, keputusan undi memihak kepada Barisan Nasional yang memperolehi 57 undi manakala pembangkang memperolehi 34 undi sebelum ia diluluskan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.