Perdana Menteri Akan Terus Promosi ‘ Asean Berpaksikan Rakyat’ Pada Sidang Kemuncak Ke-25

Nay Pyi Taw – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan terus mempromosi cadangan Malaysia bagi pewujudan ‘Asean Berpaksikan Rakyat’ pada Sidang Kemuncak Asean ke-25 yang 12 Nov dan 13 Nov, di sini.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Othman Hashim berkata Najib juga dijangka menyarankan penggandaan usaha bagi memastikan Komuniti Asean dapat direalisasikan pada akhir tahun 2015.

Bercakap kepada pemberita di sini, Othman berkata sidang kemuncak itu akan memberi peluang kepada pemimpin Asean mengkaji usaha ke arah merealisasikan Komuniti Asean pada 2015.

Beliau berkata pemimpin Asean dan rakan dialognya dijangka membincangkan mengenai dialog perhubungan pada masa depan.

Ia akan merangkumi kerjasama dalam bidang keselamatan, ekonomi dan budaya serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu yang menjadi kepentingan bersama, antara lain, tentang radikalisme dan keganasan serta peranan kesederhanaan.

Sidang kemuncak itu juga akan menyentuh mengenai alam sekitar serta isu serantau seperti keadaan di Laut China Selatan dan di Semenanjung Korea.

Semasa Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) kesembilan, para pemimpin dijangka menerima pakai kenyataan bersama tentang peraturan EAS untuk respons bencana yang kerap berlaku, respons serantau susulan penyebaran Ebola dan penyeludupan haiwan liar.

Cadangan Malaysia membanteras peningkatan keganasan dan kekejaman yang dilakukan oleh pengganas dan kumpulan militan IS di Iraq dan Syria juga dijangka diterima oleh para pemimpin Asean.

Najib akan tiba di sini hari ini(Selasa) bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor serta turut diiringi Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Pada sidang kemuncak bertemakan “Bersama Maju ke Hadapan ke Arah Masyarakat Aman dan Makmur’, itu perdana menteri dijangka mengadakan mesyuarat dua hala di luar acara, termasuk dengan India.

Sebelum melabuhkan tirai, majlis penyerahan simbolik akan diadakan apabila Myanmar menyerahkan jawatan Pengerusi Asean kepada Malaysia bagi tahun 2015.

Najib dijangka menerangkan secara ringkas tumpuan dan tanggungjawab Malaysia selaku pengerusi tahun depan.

Malaysia juga akan memperkenalkan tema dan logo selaku Pengerusi Asean.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.