Mayat Warga Indonesia Yang Dibunuh Di Hong Kong Tiba

Jakarta – Mayat dua wanita Indonesia yang didakwa dibunuh oleh pegawai bank British di Hong Kong tiba di Jakarta pada Selasa.

Mayat Seneng Mujiasih dan Sumarti Ningsih, kedua-dua berusia 20-an, ditemui dalam apartmen seorang peniaga sekuriti berusia 29 tahun awal bulan ini.

Rurik Jutting, yang bekerja di Bank of America Merrill Lynch ditangkap setelah memanggil polis ke tempat kejadian, dan telah dituduh membunuh wanita terbabit.

Mayat kedua-dua wanita itu tiba di Jakarta, Indonesia dengan penerbangan Cathay Pacific dari Hong Kong.

Sementara itu, mayat Ningsih telah dibawa ke kampungnya Cilacap, di selatan Jawa oleh kakaknya, kata pegawai Kementerian Luar Krisna Djaelani.

Manakala mayat Mujiasih pula akan disimpan semalaman di lapangan terbang sebelum diterbangkan ke rumah keluarganya di Pulau Muna, tengah Indonesia, pada hari Rabu, kata pegawai itu.

Suratmi, ibu kepada Ningsih, yang mayatnya telah mereput dan ditemui disumbat di dalam beg pakaian, menangis ketika menceritakan bagaimana seluruh keluarga sedang menunggu untuk menerima mayat anaknya.

“Saya tidak dapat menerima hakikat bahawa anak perempuan saya telah diseksa sehingga dia meninggal dunia.

“Mengapa ini nasib anak perempuan saya begini?” kata Suratmi.

Mangsa-mangsa ditemui di kawasan perumahan flat di daerah Wanchai pada awal pagi 1 November.

Seneng ditemui dalam keadaan bogel di ruang tamu, dengan luka pisau dari leher hingga ke kaki.

Mayat Sumarti yang sudah membusuk ditemui sejam kemudian oleh polis, disumbat ke dalam sebuah beg pakaian di balkoni apartmen ini.

Menurut dokumen mahkamah, dia dibunuh pada 27 Oktober.

Pada hari Isnin, Jutting muncul di mahkamah buat kali kedua sejak dia ditangkap dan berlalu selepas kesnya ditangguhkan untuk laporan psikiatri.

Polis Hong Kong sedang menyiasat sama ada mangsa adalah pekerja seks, walaupun ibu bapa mereka berkata mereka percaya anak-anak mereka telah bekerja di restoran di sana.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.