Kajang Banjir Lagi

Kajang – Kajang dilanda banjir lagi membabitkan kawasan sama selepas dua bulan kejadian serupa di Pasar Kajang.

Hujan lebat selama sejam yang bermula kira-kira jam 3.30 petang tadi mengakibatkan banjir kilat sehingga menjejaskan sebanyak 50 buah kedai berhampiran pasar berkenaan berikutan limpahan air Sungai Jeluh.

Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Hulu Langat, Roslan Shamsuddin, berkata kejadian berpunca daripada bahagian hulu Sungai Jeluh melimpah ke jalan sehingga menyebabkan air naik sedalam 300 milimeter (mm).

“Hujan lebat itu menyebabkan kuantiti air yang banyak memasuki Sungai Jeluh yang paras airnya sudah pun tinggi sehingga melimpah menyebabkan banjir kilat, bagaimana pun air surut selepas kira-kira 20 minit kemudian,” katanya ketika dihubungi BH Online sebentar tadi.

Roslan berkata, bagi penyelesaian jangka masa panjang, kajian pembinaan kolam takungan Sungai Jeluh berdekatan Penjara Kajang sudah dibincangkan di peringkat persekutuan.

“Penyelesaian jangka pendek pula akan dilaksana Disember ini dengan kerja pembinaan tembok di bahagian belakang Pasar Kajang bagi mengelak masalah berulang di kawasan sama kesan limpahan air Sungai Jeluh semasa hujan lebat, ” katanya.

Sementara itu, Pengarah Unit Perancangan Korporat dan Perhubungan Awam MPKj, Kamarul Izlan Sulaiman, berkata kerja pembersihan akan dilaksana anggota penguat kuasa dari Jabatan Perkhidmatan Perbandaran Dan Kesihatan MPKj bermula malam ini.

kajang (1) kajang (2) kajang (3) kajang (4) kajang (5) kajang (6)

-BHonline

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.