Balai Polis Di Ipoh Diserang Lelaki Bersenjatakan Parang

Kuala Lumpur – Seorang guru lelaki bertindak di luar jangkaan, apabila dia yang bersenjatakan sebilah parang panjang menyerang Balai Polis Manjoi di Ipoh, Perak dan mengugut anggota polis yang bertugas menyerahkan pistol kepadanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 malam Isnin itu, lelaki terbabit telah menghayunkan parang ke arah seorang anggota polis wanita, sambil menjerit supaya diberikan sepucuk pistol kepadanya.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong memberitahu The Rakyat Post, suspek yang berusia 42 tahun itu mengugut anggota polis yang sedang bertugas di kaunter pertanyaan balai polis berkenaan.

“Suspek yang memegang parang sepanjang 0.6 meter, bertindak menghayun senjata itu ke arah anggota wanita terbabit.

“Empat anggota peronda MPV (unit kereta peronda) kemudiannya bertindak mengepung balai berkenaan, sebelum suspek membuang parang yang dipegangnya, selepas dipujuk seorang anggota,” katanya dalam satu kenyataan melalui aplikasi WhatsApp.

Sebaik suspek melepaskan parang yang dipegangnya, seorang anggota polis cuba menangkapnya, lalu berlaku pergelutan.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati, suspek adalah guru sekolah menengah berhampiran dan sudah mengambil cuti tanpa gaji selama setahun, kerana disyaki kurang siuman disebabkan masalah mental.

Suspek yang mempunyai empat anak, juga baru bercerai dengan isterinya dua minggu lalu dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Namun, akibat tindakannya pada Isnin itu, dia kini direman dan akan menjalani pemeriksaan kesihatan mental.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, kerana cubaan membunuh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.