Ammar Dedahkan Sedang Dilamun Cinta Dengan Super Model

Petaling Jaya – Pelakon yang pernah mencetuskan kontroversi, Ammar Alfian, 27, tampil mendedahkan perkembangan terbaru dirinya yang kini sedang dilamun cinta dengan seorang model antarabangsa dikenali sebagai Casandra Azman, yang juga finalis Top 6 model Ford 2011.

Bagaimanapun, Ammar menyatakan masih terlalu awal untuk dia dan teman wanitanya memikirkan hasrat berumah tangga selepas berkenalan sejak lima bulan.

“Ya, saya sedang menjalinkan hubungan dengan seorang model dan  dia baru berusia 22 tahun.

“Sekarang ini saya baru nak aktif semula dalam dunia lakonan manakala dia pula rancak dengan pentas peragaan,” katanya pada Malaysian Digest.

Menurutnya, mereka mempunyai komitmen terhadap kerjaya masing-masing dan belum terfikir untuk membawa perhubungan ke peringkat seterusnya.”Belajar daripada perhubungan lalu, saya tak mahu terlalu merancang kerana bimbang ia tidak menjadi,” katanya.

Tambah pelakon drama Tari Tirana ini, walaupun kekasihnya masih muda tetapi dia menggambarkan buah hatinya itu seorang yang bersifat matang dan sangat memahami.

“Kami dalam bidang yang sama (peragaan), jadi tidak ada masalah untuk memahami kerja masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Ammar menyatakan dia kembali dengan semangat baru selepas empat tahun diboikot media gara-gara kesilapannya melemparkan kata kesat dan menulis ugutan bunuh terhadap wartawan hiburan menerusi Facebook miliknya.

Begitupun, dia mengakui langkah kali ini mendapat restu keluarga terutama ibunya bersama sokongan peminat yang masih percaya pada bakatnya.

“Saya kembali aktif selepas mendapat seratus peratus restu daripada ibu. Namun, saya mesti ikut syaratnya untuk menjadi anak yang baik, belajar hormat orang lain dan jangan bual hal lagi.

“Saya sudah berjumpa dengan pihak media tersebut dan mereka sudah maafkan saya dan berpesan agar tidak membuat hal lagi,” katanya.

Katanya, dia sedar bukan semua pihak dapat menerimanya kembali.

“Jika ada yang benci, saya tak boleh berbuat apa-apa kerana masing-masing mempunyai persepsi.

“Saya sedar, dulu ramai yang menilai akibat tingkah laku buruk saya. Mungkin pada masa itu saya masih muda dan mengalami kejutan budaya.

“Namun, sekarang saya semakin matang dan menjaga tingkah laku serta mahu buktikan bakat sendiri,” katanya.

Katanya, sejak dihimpit kontroversi berkenaan, dia tiak lagi aktif di laman sosial, Twitter.

“Sekarang ini saya hanya ada Facebook sebagai berkongsi perkembangan kerjaya saya dan Instagram untuk media sosial gambar,” katanya yang kini sibuk menjalani penggambaran filem Langit Cinta dibintangi bersama Fazura dan Keith Foo.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.