Zahid Beri Keterangan Kali Ke-5 Hari Ini

PUTRAJAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini untuk memberi keterangan dipercayai berhubung siasatan dakwaan kes penyelewengan dana sebuah yayasan.

Ini adalah kali kelima Ahli Parlimen Bagan Datuk itu hadir ke SPRM bagi memberi keterangan.

Ahmad Zahid yang berpakaian baju putih tiba di bangunan berkenaan pada jam 9.18 pagi tanpa polis pengiring dan terus memasuki perkarangan bangunan itu sambil tersenyum kepada wakil media yang merakam gambarnya.

Puluhan wartawan kelihatan berkumpul di perkarangan ibu pejabat SPRM seawal jam 8 pagi untuk membuat liputan kes berkenaan.

Menurut sumber SPRM, proses mengambil keterangan akan ditangguhkan pada jam 12 tengah hari dan akan disambung pada jam 3 petang hari ini.

Ahmad Zahid sebelum ini memberi keterangan berhubung kes yang sama kali ketiga dan keempat pada Rabu dan semalam.

Pada Julai lalu, Ahmad Zahid memberi keterangan sebanyak dua kali kepada SPRM berhubung siasatan terhadap dana Yayasan Akal Budi milik keluarganya yang ditubuhkan untuk menjalankan kegiatan amal. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.