Wujud Sabotaj Dalam Kerajaan, Kata Tun M

SHAH ALAM – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata wujud tindakan sabotaj di dalam kerajaan yang menjadi antara sebab Malaysia sukar untuk mengenal pasti dengan tepat lokasi persembunyian ahli perniagaan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Ujarnya, sabotaj berkenaan menyebabkan Jho Low dapat mengelakkan diri daripada diberkas pihak berkuasa. 

“Saya rasa dia bersembunyi di tempat tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sekiranya terdapat sabotaj dalam kerajaan dengan cara membocorkan maklumat.

“(Tun) Daim (Zainuddin) kata ada orang yang beritahu dia (Jho Low). Ada masanya dia berada di Hong Kong, (tetapi) apabila kami sampai di Hong Kong, dia sudah pun terbang ke tempat lain,” katanya dipetik Berita Harian.

Malaysia kini memburu Jho Low untuk membantu dalam siasatan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim sebelum ini mengesahkan bahawa polis mempunyai maklumat mengenai lokasi ahli perniagaan itu. 

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan di negara mana Jho Low bersembunyi berikutan ia membabitkan isu kedaulatan dan perundangan negara berkenaan.

Katanya, disebabkan itu, PDRM tidak boleh menghantar pasukannya untuk menahan Jho Low sebaliknya perlu berbincang dengan kerajaan negara berkenaan. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.