VIDEO: Siti Kassim Seru Pengundi Tolak Anwar, Undi Stevie Chan

SHAH ALAM – Berbaki kurang 24 jam menuju hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, aktivis kontroversi Siti Kassim sekali lagi mengulangi gesaannya kepada pengundi agar menolak calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi satu klip video yang dikongsi di laman Facebook beliau, Siti Kassim berkata pengundi tidak wajar terpengaruh selepas melihat ramai pemimpin tertinggi PH ‘turun padang’ ke Port Dickson berkempen untuk Anwar.

“Jangan termakan apabila melihat semua pemimpin tertinggi turun untuk sokong Anwar Ibrahim. Kita kena fikir diri kita sendiri. Adakah masa mula-mula kita dengar Anwar nak bertanding di PD, apakah perasaan anda sebenarnya? Mesti tak suka kan? Kalau suka, tak apalah.

“Tapi kalau tak suka, anda perlu mengikut naluri anda. Anda tidak boleh fikir yang ramai pemimpin turun sokong Anwar, dan semua kena undi Anwar. Jika saya, saya akan ikut naluri saya,” katanya.

Tambah peguam itu lagi, beliau secara peribadi menyokong calon Bebas, Stevie Chan, kerana keberaniannya menentang nama besar seperti Anwar.

“Walaupun saya tak kenal dia (Stevie) sebenarnya, tetapi dia adalah orang pertama yang keluar dan berani untuk menentang satu nama besar dalam politik, yang punya banyak wang, berpengaruh, jentera yang menyokong, tetapi dia berani kerana dia merasakan bahawa tujuan Pakatan Harapan bukan untuk seorang, bukan untuk Anwar Ibrahim,” katanya lagi.

Siti Kassim juga menyelar penajaan tuisyen percuma yang dilancarkan Anwar untuk pengundi di Port Dickson baru-baru ini sebagai satu bentuk rasuah kepada pengundi.

Sebelum ini calon Bebas, Stevie Chan membuat laporan polis berhubung penajaan tuisyen percuma itu yang didakwanya melanggar peraturan pilihan raya.

Chan berkata Anwar telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 10(a) dan (b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Saya membuat laporan polis ini kerana saya melihat budaya pemberian hadiah dan membuat janji manis yang telah mencemarkan proses pilihan raya kita selama bertahun-tahun berterusan sehingga hari ini,” petik kata Chan mengulas laporan polisnya.

PRK Port Dickson diadakan susulan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi bagi memberi laluan kepada Anwar untuk kembali ke parlimen seterusnya bergelar perdana menteri.

PRK Port Dickson yang akan diadakan esok menyaksikan pertandingan tujuh penjuru melibatkan Anwar; calon PAS Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dan lima lagi calon bebas termasuk Chan.

Bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat pemimpin PKR itu turut bertanding sebagai calon Bebas. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.