Najib Tak Pernah Menyesal Sepanjang Pemerintahan

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan bahawa beliau tidak pernah menyesal dengan apa yang dilakukannya sepanjang pemerintahannya walaupun berdepan dengan dakwaan di mahkamah.

Dalam satu wawancara dengan Financial Times, Najib sekali lagi menjelaskan wang berbilion ringgit yang diterima dalam akaun peribadi serta rantai berlian merah jambu milik isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor adalah sumbangan serta hadiah.

Beliau dan isterinya kini berdepan puluhan tuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah.

Dalam wawancara itu, Najib turut menuduh musuh politiknya dalam UMNO berkonspirasi untuk menjatuhkannya, menyelar kerajaan kerana tidak menunaikan janji pilihan raya dan mengkritik pengundi kerana tidak menghargai apa yang dilakukannya untuk pertumbuhan ekonomi negara.

“Kami mempunyai pencapaian yang gemilang. Satu-satunya yang menjatuhkan kami adalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB),” katanya yang turut memberitahu bahawa syarikat itu adalah ideanya.

Najib berkata, apa yang paling beliau kesalkan adalah kegagalannya untuk memahami perasaan tidak puas hati dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Saya terkejut.. Kami tidak menjangkakan keputusan seburuk itu,” ujarnya ketika mengulas mengenai keputusan pilihan raya umum yang lalu.

Mengenai skandal yang dihadapinya, Najib menegaskan wang RM2.6 bilion, didakwa Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) diseleweng dari dana 1MDB, adalah sumbangan kerajaan Arab Saudi yang mahu membantu negara Islam berdepan ancaman pelampau.

“Ia bukan dana haram tetapi ia satu sumbangan untuk memastikan kerajaan pada waktu itu terus memerintah,” jelasnya.

Najib juga dilaporkan berkata, dia memerlukan dana kecemasan untuk menghalang wakil rakyat kerajaan pada waktu itu beralih kepada pembangkang.

Ujarnya, wang itu untuk tujuan pilihan raya dan apabila tidak digunakan, ia dipulangkan kepada Arab Saudi.

“Saya menerima kira-kira AS$681 juta (RM2.8 bilion) tetapi empat bulan selepas pilihan raya, sebelum isu 1MDB menjadi mendapat perhatian awam. Saya memulangkan semula AS$620 juta (RM2.58 bilion) kepada sumber. Kami ada sumber dan pindahan kawat untuk membuktikannya.

“Apa yang berlaku di luar iaitu berkaitan dengan wang lain akan diketahui melalui siasatan lanjut. Saya menegaskan bahawa saya tidak melakukan sebarang kesalahan.. Saya tiada niat untuk membelanjakan wang itu dengan cara mewah,” jelasnya.

DoJ sebelum ini mendakwa sebahagian wang RN2.58 bilion itu digunakan untuk membeli rantai berlian merah jambu bernilai RM117.1 juta untuk Rosmah.

Bagaimanapun, Najib memberitahu, barangan kemas itu adalah hadiah hari ulang tahun kelahiran Rosmah daripada Sheikh Mansour bin Zayed al-Nahyan, adik pemerintah Abu Dhabi.

Apabila ditanya mengenai 1MDB, wang tunai dan barangan kemas yang dirampas di rumahnya dan lokasi lain selepas pilihan raya umum pada 9 Mei lalu, Najib memberitahu, hampir AS$700 juta (RM2.9 bilion) yang didepositkan dalam akaun peribadinya adalah bukan untuk kegunaan peribadinya.

Polis merampas beg tangan mewah, barang kemas dan jam bernilai RM1.1 bilion serta wang tunai dari pelbagai mata wang berjumlah RM124.9 juta dalam beberapa serbuan di kediaman yang dikaitkan dengan Najib.

Najib mengulangi dakwaannya sebelum ini bahawa beliau hanya mengikuti amalan bekas presiden UMNO sebelum ini termasuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menyimpan dana parti di rumah.

“Apa yang saya lakukan sama seperti yang dilakukan oleh bekas pemimpin sebelum ini kerana seperti yang saya katakan tiada peraturan mengenai dana parti,” katanya.

Tambahnya, dia tidak sabar untuk membersihkan namanya dalam perbicaraan yang dijadual berlangsung pada awal tahun depan.

“Saya mengalu-alukan perbicaraan ini kerana ia memberi peluang untuk membersihkan nama saya. Sudah tentu, tiada siapa yang mahu masuk penjara,” jelasnya. – BERITA HARIAN

2 thoughts on “Najib Tak Pernah Menyesal Sepanjang Pemerintahan

  • October 12, 2018 at 8:17 pm
    Permalink

    Sesal apa nya?? Apa jasa kau? Korup bolih lah???? Abuk tarak??? Nyah dia ni??? Tk perlu kasihan org yg rompak duit????

    Reply
  • October 12, 2018 at 8:18 pm
    Permalink

    Kuasa allah swt tatak bolih lari punya!! Byk kes masa kau dulu? Tk tau ker???

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.