Mahkamah Tolak Permohonan ‘Mamu Parpu’ Kaji Semula Keputusan Pembebasan Guan Eng

GEORGETOWN – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan seorang pengendali laman Facebook Mohsin Abdul Latif untuk mengkaji dan menyemak semula keputusan melepas dan membebaskan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon daripada pertuduhan rasuah.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail dalam keputusannya berkata pemohon selaku pengadu dalam kes ini tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan permohonan berkenaan.

“Berbalik pada isu locus standi, pemohon adalah pengadu dalam kes ini dan bukannya tertuduh. Untuk kes jenayah mengikut Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan hanya Peguam Negara yang mempunyai kuasa untuk sama ada tuduh, atau tidak tuduh, tarik balik. Kuasa itu hanya boleh dibuat oleh Peguam Negara dan bukannya mahkamah.

“Orang lain tidak boleh bercakap, Peguam Negara yang ada kuasa. Suka atau tidak suka kena ikut Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan ini,” katanya.

Beliau berkata bagi kes jenayah, sekiranya mana-mana pihak yang tidak berpuas hati boleh memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan.

Selain itu beliau berkata menerusi Seksyen 278 Kanun Prosedur Jenayah jelas menunjukkan bahawa mahkamah tidak boleh ubah atau semak permohonan tersebut.

“Saya menerima hujahan bantahan awal yang dikemukakan pihak responden, apa yang dihujahkan memang tepat dari segi undang-undang. Mahkamah tidak boleh bertindak sesuka hati, mahkamah kena patuhi undang-undang.

“Setelah mengkaji keseluruhan keterangan dan undang-undang di bawah Seksyen 278 Kanun Prosedur Jenayah memang pemohon tidak ada locus standi dan permohonan pemohon ditolak,” katanya.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhujah pemohon tidak mempunyai locus standi bagi memfailkan permohonan tersebut.

Sementara itu peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Guan Eng pula berhujah Seksyen 278 Kanun Prosedur Jenayah jelas menyatakan mahkamah tinggi hanya boleh menyemak keputusan yang dibuat oleh mahkamah rendah.

Peguam Gunamalar Joorindajn yang mewakili Mohsin memberitahu pemberita beliau menghormati keputusan yang dibuat mahkamah dan akan menfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan, Putrajaya dalam tempoh terdekat.

Untuk rekod, pada 3 September lalu, Hadhariah memutuskan untuk melepas dan membebaskan Guan Eng daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot tanah dan banglo di Jalan Pinhorn di bawah nilai pasaran. Li Koon turut dibebaskan daripada dakwaan bersubahat dengan Guan Eng. 

Sehubungan itu, Mohsin atau dikenali sebagai Mamu Parpu bertindak membuat permohonan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang agar mengkaji semula keputusan tersebut kerana mendakwa ia dilakukan secara ‘tergantung’ seolah-olah ia satu tindakan berkepentingan.

Permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 278 Kanun Prosedur Jenayah.

Sebelum ini, Presiden Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam mempertikaikan pemilihan Hadhariah sebagai hakim bagi mendengar permohonan yang difailkan Mohsin.

Menerusi satu kenyataan, Lokman berkata, adalah sesuatu yang sangat tidak masuk akal apabila hakim yang pernah membuat keputusan untuk melepas dan membebaskan Guan Eng dan Li Khoon, dipilih lagi sekali untuk mendengar permohonan semakan semula terhadap keputusan penghakimannya. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.