Kaji Selidik IDE Tidak Meyakinkan, Adik Beradik Dengan Invoke – Takiyuddin

PORT DICKSON – “Kajian dibuat Institut Darul Ehsan (IDE) berhubung keputusan PRK Parlimen Port Dickson dianggap tidak meyakinkan,” kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

Menurutnya, kajian berkenaan mirip dengan kajian dilakukan Invoke Malaysia (Invoke) sebelum ini malah Takiyuddin secara berseloroh mengatakan IDE dan Invoke adalah adik-beradik.

“Kita kenal siapa IDE ini, orang belakang IDE ini kita kenal. Apa dia buat itu sesuatu yang boleh dipersoalkan lebih lagi dia katakan undi Saiful Bukhari kosong.

“Ada ke calon dapat kosong? Ini lebih kurang Invoke dululah. Dia kata Pas dalam PRU14 kosong kerusi, akhirnya Pas mendapat 18 (kerusi) Parlimen dan 90 kerusi Dun.

“Invoke dengan IDE ini adik beradik. Itu (kajian IDE) tidak menggambarkan kajian yang meyakinkan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Telok Kemang, di sini, pagi tadi.

Tambah Ahli Parlimen Kota Bharu itu, jika calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin menang di Port Dickson berdasarkan kajian IDE, mengapakah beliau masih berkempen sehingga saat-sat akhir.

“Orang kenal beliau, budak-budak pun kenal. Kalau yakin dan kata akan jadi perdana menteri, tak perlu kempen sampai saat akhir.

“Stevie Chan (calon Bebas dalam PRK Parlimen Port Dickson) pun tak kempen teruk-teruk macam tu,” ujarnya.

Semalam, kajian IDE mendakwa calon Bebas, Mohd Saiful Bukhari Azlan tidak mendapat sebarang sokongan undi biarpun calon itu antara yang mendapat liputan meluas.

Ketua Eksekutif IDE, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman, berkata kaji selidik itu dijalankan kepada lebih 1,000 orang di semua kawasan di Port Dickson.

Menurutnya, tiada seorang pun menyatakan sokongan mereka terhadap bekas pembantu peribadi Anwar itu.

“Kaji selidik kita dah buat. Tiada kita jumpa kata sokong beliau. Ada juga yang kata pasal Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan calon Bebas lain tapi tiada nama Mohd Saiful,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.