“Harap Ini Yang Terakhir”, Respon Zahid Selepas Selesai Beri Keterangan Kali Kelima

PUTRAJAYA: Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akhirnya selesai memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau yang tiba pada jam 9.18 pagi tadi dilihat meninggalkan ibu pejabat SPRM pada jam 7.40 malam.

“Selepas memberikan penjelasan yang sangat terperinci untuk beberapa tuduhan, saya harap ini adalah sesi terakhir.

“Bagaimanapun, jika maklumat yang saya berikan masih tidak cukup, saya bersedia untuk kembali lagi.

“Saya berterima kasih kepada SPRM kerana profesionalisme mereka, saya telah menjelaskan segala-galanya dan saya tidak ada apa-apa untuk disembunyikan,” kata Dr Ahmad Zahid kepada pemberita ketika dia keluar dari bangunan itu.

Beliau dibenarkan berehat untuk menunaikan solat Jumaat tengah hari tadi sebelum kembali semula pada jam 3.10 petang.

Ahmad Zahid dipanggil untuk memberi keterangan berhubung dakwaan mengenai penyelewengan dana Yayasan Akal Budi berjumlah RM800,000 yang dikatakan digunakan untuk membayar bil kad kredit.

Beliau adalah pengerusi yayasan itu yang ditubuhkan oleh keluarganya untuk menjalankan kegiatan amal.

Ahmad Zahid sebelum ini memberi keterangan berhubung kes yang sama kali ketiga dan keempat pada Rabu dan semalam.

Pada Julai lalu, Ahmad Zahid memberi keterangan sebanyak dua kali kepada SPRM berhubung siasatan kes yang sama. -SuaraTv

 

Kredit gambar: NSTP 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.