Bekas PM Estonia Minta Maaf Atas Serangan Seksual Di Malaysia

Bekas perdana menteri Estonia dan delegasinya dituduh melakukan serangan seksual di sebuah parti di Kuala Lumpur, yang mencetuskan kontroversi di negara asalnya.

Insiden tersebut juga menimbulkan gesaan agar bekas perdana menteri, Taavi Roivas meletak jawatan sebagai naib presiden parlimen Estonia.

Portal err.ee memetik akhbar Eesti Päevaleht melaporkan beberapa serangan berlaku secara lisan hingga melibatkan sentuhan fizikal.

Kejadian itu didakwa berlaku dalam sebuah bar di sebuah hotel di Kuala Lumpur yang dikunjungi delegasi Roivas.

Mereka dikatakan menghadiri parti itu selepas mengakhiri lawatan perdagangan rasmi berkaitan sektor teknologi pada 21 September lalu.

Seorang wanita berkata dia dicium secara “agresif” oleh pelaku sebelum pakaiannya ditarik dan tubuhnya diraba, menurut laporan itu.

Seorang “anggota delegasi” juga dikatakan telah menuangkan minuman ke atas seorang wanita di parti itu, sambil berkata “Saya ingin buat awak basah”.

Manakala seorang lagi wanita juga ditolak ke dalam kolam renang di bar berkenaan.

Malaysiakini telah menghubungi pihak polis untuk mengetahui sama ada terdapat laporan polis telah dibuat.

Laporan itu tidak menyatakan sama ada Roivas secara peribadi terlibat dalam gangguan seksual atau hanya merupakan anggota delegasi.

 

Roivas, dalam satu kenyataan, memohon maaf “secara peribadi dan juga bagi pihak semua delegasi” kepada semua individu yang terjejas oleh kejadian berkenaan, menurut laporan itu.

Laporan itu menambah Roivas telah bertemu dengan pengadu untuk memujuknya agar tidak “menyebut sebarang nama”.

Sementara itu dalam laporan berasingan, Presiden Parlimen Estonia, Eiki Nestor menggelar insiden itu sebagai “terkutuk”, sambil menambah Roivas perlu memutuskan sama ada dia harus meletakkan jawatan.-Malaysiakini

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.