Aishah Kahwin Kali Keempat

KUALA LUMPUR – Peserta Gegar Vaganza 4 (GV4), Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, 52, mengakui sudah kembali berumah tangga selepas tiga perkahwinan terdahulu gagal.

Berkata kepada Utusan Online, Aishah yang bercerai dengan suami ketiganya pada 2011 bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkahwinan terbaharunya.

“Betul, saya memang sudah berkahwin kembali. Itu sahaja yang boleh saya kongsikan,” jawabnya ringkas kepada Utusan Online.

Sementara itu, penyanyi yang popular menerusi lagu Janji Manismu itu bakal bersaing dengan 11 lagi peserta dalam program realiti GV4 yang akan bermula pada 29 Oktober ini.

Menurut wanita itu, suaminya turut memberi dorongan dan sokongan kepadanya untuk menyertai program berkenaan.

“Saya juga berharap agar penyertaan ini tidak dikaitkan dengan sebarang isu lain. Jangan mencampur-adukkan penglibatan saya dalam bidang politik dengan karier nyanyian yang telah lama diceburi,” katanya meletak harapan.

“Fokus dan tumpuan saya buat masa terdekat adalah untuk mengharungi pertandingan ini sehingga ke penghujungnya. Insya-Allah,” katanya.

Terdahulu, menerusi perkahwinan pertama yang dirahsiakannya, penyanyi berasal dari Negeri Sembilan itu dikurniakan seorang anak, Armand Zahari, 24.

Kemudiannya, bersama suami kedua, Muhammad Abdullah, dia memperoleh seorang lagi anak lelaki iaitu Azhad Ahlami, 19, sebelum bercerai pada 2005.

Namun, dengan suami ketiga, Faizal Sazali Zulkifli yang dikahwini pada 2010, dia tidak mempunyai zuriat. – UTUSAN ONLINE

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.