4,318 Mangsa Banjir Terima Bantuan Wang Ihsan

RANTAU PANJANG – Kerajaan mengagihkan lebih RM 2.1 juta wang ihsan kepada 4,318 mangsa banjir seluruh Parlimen Rantau Panjang, semalam.

Ketua Umno Rantau Panjang, Senator Datuk Abdullah Mat Yasim berkata, agihan sebanyak RM500 bagi setiap keluarga ini melibatkan mangsa banjir yang berpindah di Dun Meranti, Gual Periok dan Bukit Tuku.

Menurutnya, agihan dibahagikan kepada dua fasa iaitu bagi fasa pertama majlis agihan diadakan pada 28 September lalu, membabitkan seramai 1,784 seluruh Dun Meranti.

Manakala bagi fasa kedua katanya, ia membabitkan 2,534 mangsa banjir bagi Dun Bukit Tuku dan Gual Periok.

“Ini merupakan salah satu usaha kerajaan membantu meringankan beban mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara serta menerima surat pengesahan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat ketika banjir tahun lalu.

“Kita terima laporan, ada senarai yang tercicir daripada menerima sumbangan hari ini.

“Jangan risau kerana mereka boleh merujuk dengan ketua kampung dan agihan akan disampaikan dalam fasa seterusnya,” katanya selepas Majlis Penyerahan Wang Ihsan Bantuan Bencana di Dewan Kolej Kemahiran Tinggi Mara Pasir Mas, semalam.

Hadir sama Pengarah Angkatan Pertahan Awam Malaysia Kelantan, Zainudin Hussin dan Pengarah Bahagian Pembangunan Komuniti dan Sosial, Mohamed Zahari Razali.

Sementara itu, mangsa banjir dari Kampung Serai Lima, Nur Haslinda Abdullah, 23, berkata, bantuan yang diterima akan digunakan untuk keperluan keluarga dan dua anaknya.

Menurutnya, ia juga dapat meringankan beban menguruskan keperluan anak sulungnya, Muhammad Safuan Adam, 5, yang mempunyai penyakit lemah saraf.

“Walaupun agak mencabar kerana perlu mendukung anak yang masih kecil malah kurang upaya (OKU) tapi kami sentiasa berpindah ke pusat pemindahan kerana kampung ini merupakan antara kawasan yang sering dinaiki banjir sehingga beberapa meter,” katanya kepada Sinar Harian. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.