Warga Britain, Australia Bakal Dibicarakan Belasah Polis Hingga Mati

JAKARTA – Seorang lelaki warga Britain dan wanita Australia yang ‘membelasah’ seorang anggota polis hingga mati di pulau peranginan Bali, berdepan perbicaraan atas dakwaan membunuh.

 

AFP melaporkan, David Taylor dan Sara Connor bakal berdepan tiga dakwaan berasingan kerana membunuh, menyeksa dan menyerang hingga menyebabkan kematian anggota polis Wayan Sudarsa, di sebuah pantai destinasi popular negara itu.

 

Pihak polis telah membuat persiapan akhir bagi kes itu dan bermakna perbicaraan boleh diteruskan, ujar peguam Taylor, Haposan Sihombing.

 

Peguam kanan di pejabat peguam daerah Denpasar, Ketut Maha Agung, juga mengesahkan perbicaraan ke atas dua pelancong itu dimulakan seawal-awalnya bulan depan.

 

Jika disabitkan kesalahan membunuh, mereka berdua boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun. Sementara tuduhan menyerang hingga menyebabkan kematian dan penyeksaan masing-masing membawa hukuman maksimum 12 dan 7 tahun.

 

Taylor yang merupakan seorang deejay, memberitahu polis bahawa dia menghentak Sudarsa dengan sebuah alat teropong dalam satu insiden lewat malam di pantai Kuta.

 

Dia pada masa itu percaya bahawa anggota polis itu menyerang teman wanitanya, Connor, dan cuba mencuri beg wanita dari New South Wales itu.

 

Pihak polis pula berkata Taylor tidak dapat mengawal emosi dan terus menghentak kepala polis berkenaan berulang kali dengan botol bir. Namun, peguambela Taylor menyatakan anak guamnya terlebih dahulu ditolak anggota polis berkenaan.
Pasangan itu kemudiannya meninggalkan tempat kejadian, namun dikesan oleh pihak berkuasa berdasarkan maklumat saksi.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.