Terkejut Serangan Badut Di UK, Ibu Lahir Bayi Pramatang

LONDON – Gara-gara terkejut dengan serangan badut yang ‘menggila’ di seluruh United Kingdom (UK) seorang wanita hamil terpaksa mela­hirkan bayinya secara pramatang.

 

Mail Online melaporkan, wanita itu melahirkan bayinya sebulan lebih awal daripada jangkaan kelahiran apabila seorang remaja bertindak melompat keluar daripada persembunyian di depan ibu hamil berkenaan yang nama­nya tidak didedahkan.

 

Butiran tentang kejadian yang berlalu di Whitwick itu hanya didedahkan dalam akaun Facebook tidak dikenali.

 

Butiran dalam akaun itu antara lain memaklumkan mengenai kejadian seorang remaja berusia 17 tahun yang mengejutkan wanita terbabit dengan berpakaian seperti badut.

 

Tambah status itu, ibu dan bayinya kini dalam keadaan stabil namun wanita yang sarat hamil sepatutnya tidak menjadi mangsa usikan dan kegilaan itu perlu dihentikan.

 

 

Terdahulu, trend memakai pakaian badut oleh individu yang suka ‘menyakat’ atau prankster mula tercetus di Amerika Syarikat (AS) sejak beberapa minggu lalu dengan badut itu gemar mengejar orang ramai bagi menakutkan mereka, tipu helah yang berlaku pada setiap tahun sejak berdekad lamanya di AS.

 

Malah, trend pemakaian badut itu dilapor mula mere­bak ke beberapa negara termasuk UK dengan kelibat mereka banyak dikesan pada waktu malam.

 

Sementara itu, Polis Leicestershire dalam akaun Facebook menegaskan akan mengambil tindakan tegas terhadap badut yang menimbulkan gangguan kepada ketenteraman awam.

 

Tambah kenyataan itu, orang ramai tidak perlu teragak-agak menghubungi polis jika ternampak badut berkenaan.

 

“Kami akan mengambil tindakan sewajarnya. Menimbulkan ketakutan dan kebimba­ngan secara sengaja tidak boleh diterima dalam masyarakat dan menjadi satu kesalahan jenayah,” tulis kenyataan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.