‘Tak Perlu Jadi Presiden FAM, Saya Akan Terlibat Dalam Bola Sepak Negara’ – Tony Fernandes

SEPANG – “Tanpa diragui, saya akan terlibat dalam bola sepak dalam bentuk tertentu. Saya melihat bola sepak Malaysia sejak berumur lima tahun di kejohanan Piala Merdeka,”kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes.

 

Beliau yang membayangkan berminat untuk membantu perkembangan bola sepak Malaysia berkata, tidak perlu menjadi Presiden kerana beliau akan menggunakan segala pengalamannya sewaktu menaja pasukan Liga Perdana Inggeris, Queens Park Rangers untuk kemajuan bola sepak negara.

 

“Dan jika saya boleh tolong, sudah tentu saya akan tolong. Ia terpulang kepada persatuan itu (FAM) bagaimana mereka mahu saya bantu,” katanya kepada pemberita pada majlis penghargaan Air Asia kepada pemenang pingat temasya Paralimpik Rio bulan lalu, petik Bernama.

 

Tony berkata beliau sangat meminati bola sepak dan masanya masih panjang untuk melibatkan diri di dalam arena bola sepak negara.

 

“Mari lihat jika orang mahukan saya dan mari lihat jika saya boleh menyumbang. Ia tidak perlu jadi Presiden FAM.

 

“Terdapat banyak lagi peranan lain, tetapi sekiranya saya diminta membantu bola sepak Malaysia, saya akan bantu,” katanya.

 

Pada majlis itu, Air Asia menghadiahkan penerbangan percuma kepada pemenang pingat Paralimpik dari negara ASEAN.

 

“Sekali lagi atlet ASEAN telah membanggakan rantau ini dengan menunjukkan bahawa kita boleh menjadi pencabar yang hebat di peringkat dunia,” kata Tony.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.