Samsung Malaysia Ganti Galaxy Note7 Dengan Model S7 Edge

KUALA LUMPUR – Samsung Malaysia Electronics bakal mengantikan model telefon pintarnya Galaxy Note7 dengan model S7 edge bermula minggu depan.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, Samsung Malaysia berkata keselamatan pengguna adalah keutamaannya dan pengguna boleh menghubungi khidmat pelanggan di talian 1-800-88-779 bagi mendapatkan maklumat lanjut sebelum proses penukaran dilakukan.

 

“Samsung komited dalam mengeluarkan produk berkualiti tinggi dan kami memandang serius setiap laporan insiden dari pelanggan.

 

“Kami telah menjalankan siasatan dan mendapati wujud masalah dalam sel bateri.

 

“Sehingga 1 September terdapat 35 kes kebakaran bateri dilaporkan seluruh dunia.

 

“Keselamatan pelanggan adalah keutamaan kami, justeru kami menghentikan jualan Galaxy Note7,” menurut kenyataan tersebut.

 

Samsung pada Selasa mengumumkan penghentian serta merta pengeluaran Note7 selepas laporan kebakaran bateri terbaru dalam model yang ditambah baik.

 

Ia turut mengarahkan pengedar seluruh dunia menghentikan penjualan dan menasihatkan pengguna berhenti menggunakan model tersebut.

 

Samsung pada September memanggil kembali semua model Note7 selepas berpuluh laporan kebakaran bateri dilaporkan seluruh dunia ketika telefon dicas.

 

Ia kemudian melancarkan kembali versi terbaru Note7 di Korea Selatan, namun laporan kebakaran bateri pada model terbaru masih wujud, memaksa gergasi teknologi itu menghentikan sepenuhnya pengeluaran dan penjualan model berkenaan.

 

Note7 merupakan model kelas teratas telefon pintar Samsung yang sepatutnya bersaing dengan model dari gergasi teknologi Apple Inc., iPhone 7 dan iPhone 7 Plus. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.