Reezal Merican Bantah Pihak Mahu Buat Kasino Di Pulau Pinang

UMNO Bahagian Kepala Batas dengan sekeras-kerasnya menolak sebarang cadangan oleh mana-mana pihak atau sesiapa jua untuk mewujudkan kasino di Pulau Pinang, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

 

Beliau berkata, selagi beliau menjadi Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas dan Ahli Parlimen Kepala Batas, beliau akan memastikan tiada sebuah pun kasino akan wujud di atas bumi Pulau Pinang.

 

“Cadangan Penang Front Party untuk mewujudkan sebuah kasino di Pulau Pinang sekiranya mereka menang dalam Pilihanraya Umum ke-14 adalah cadangan yang dangkal dan tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Timbalan Menteri Luar itu, perjudian bukan budaya rakyat Malaysia, khususnya rakyat Pulau Pinang dan beliau yakin bahawa majoriti rakyat Pulau Pinang yang bukan Islan juga menolak aktiviti tersebut.

 

Tambahnya, aktiviti perjudian adalah racun yang boleh merosakkan keluarga dan masyarakat.

 

Dalam pada itu, menurutnya, Pulau Pinang adalah negeri yang kaya dengan produk pelancongan dan tidak memerlukan kasino atau pusat-pusat perjudian untuk menarik lebih ramai pelancong asing.

 

“Saya ingin menyatakan dengan terang dan jelas bahawa UMNO tidak ada sebarang kaitan secara langsung atau tidak langsung dengan Penang Front Party. Penglibatan Datuk Zahidi Zainul Abidin sebagai Penasihat PFP adalah atas kapasiti peribadinya sendiri dan tidak mewakili parti UMNO,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.