Nazri Tidak Terkejut Jika Tun M Kembali Sertai UMNO

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz meluahkan rasa tidak terkejut sekiranya bekas Presiden UMNO Tun Dr Mahathir Mohamad kembali semula menyertai UMNO.

 

Menurutnya, bertukar parti dan kembali ke parti asal adalah resam dalam politik walaupun untuk kali ketiga.

 

“Kita tak ada ‘red card’ dalam perlembagaan kita (UMNO). (Selepas ) tiga kali (keluar parti), haram masuk balik, tidak ada seperti itu.

 

“Satu masa esok, dia menyesal dan tahu dia bersalah, dia ‘bertaubat’ besar. Dia nak masuk, masuklah. Ini UMNO, untuk semua orang Melayu dan juga Bumiputera yang lain yang mendokong perjuangan UMNO,” jelasnya, lapor Awani.

 

Tambahnya, UMNO mempunyai sejarah pemimpin yang kembali ke parti tersebut setelah meninggalkannya.

 

Katanya, beliau percaya akan ada pemimpin yang kembali kepada UMNO dalam tiga atau empat tahun lagi.

 

“Kita terbuka sebab precedent (contoh terdahulu) sudah ada. Tengku Razaleigh lawan kita (UMNO), akhirnya masuk balik. Kita dah ada ikutan dan kita terbuka. Jadi pada saya, kita sudah tahu jalan ceritanya,” ujarnya.

 

Dalam pada itu, Nazri berkata, beliau tidak gusar dengan tindakan beberapa bekas pemimpin UMNO untuk menubuhkan parti baharu seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

 

Jelasnya, bilangan pemimpin yang keluar parti adalah terlalu kecil untuk menggugat UMNO yang masih mempunyai barisan pemimpin yang kuat.

 

“Mahathir, Muhyiddin, Shafie, Mukhriz. ‘Koman’ sangatlah UMNO kalau yang berempat ini keluar maka UMNO tergugat,” katanya.
Tambahnya bekas pemimpin UMNO tersebut hanya mampu menang dalam pilihan raya selama ini kerana bertanding di bawah parti UMNO dan bukan kerana keupayaan mereka sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!